BAYANGKAN sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang selamat, bersih dan selesa untuk komuniti yang terpaksa berpindah akibat banjir atau bencana lain. PPS ideal dibina dengan bahan tahan lama, lantai dinaikkan dan laluan selamat supaya operasi dapat diteruskan walaupun ketika bencana.
Sementara ruang diatur rapi, kawasan mencukupi untuk keluarga disediakan, pencahayaan baik, lantai tidak licin serta tempat tenang supaya mangsa dapat berehat dan berasa selamat.
Lebih menarik jika PPS boleh dibahagikan kepada zon tertentu seperti ruang keluarga, kawasan lelaki dan wanita berasingan serta kemudahan mesra warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita hamil dan kanak-kanak.
Bahkan sekiranya wujud peraliran udara baik, kawalan suhu asas dan penggunaan bahan yang mengurangkan haba dapat membantu penghuni kekal selesa. Kemudahan kebersihan seperti tandas berasingan, air bersih, tempat cuci tangan dan sistem pelupusan sisa yang teratur dijaga rapi bagi mencegah penularan penyakit.
Perkhidmatan kesihatan asas disediakan dengan pasukan perubatan terlatih yang memberi rawatan kecemasan, ubat-ubatan asas, pemeriksaan kesihatan ringkas dan mengurus pengangkutan kecemasan.
Kesihatan emosi turut diberi perhatian melalui kaunselor, ruang mesra kanak-kanak, aktiviti komuniti serta maklumat jelas dalam pelbagai bahasa. Penglibatan mangsa dalam pengurusan PPS juga digalakkan supaya mereka berasa dihormati.
Keberkesanan PPS bergantung kepada sistem pengurusan bersepadu dan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi menyelaras kesihatan, keselamatan dan sokongan sosial.
Pemeriksaan berkala, kawalan vektor, anggota keselamatan, pencahayaan yang cukup dan sistem komunikasi boleh dipercayai memastikan ketenteraman dan keselamatan. PPS juga perlu dilengkapi bekalan asas, air, elektrik sokongan, susun atur fleksibel dan kakitangan terlatih. Latihan dan perancangan awal membolehkan tindakan pantas semasa banjir.
Namun, lokasi PPS adalah faktor paling kritikal. Di Hulu Terengganu, kajian mendapati hanya 0.05 peratus kawasan sesuai untuk PPS, manakala banyak PPS dibina di cerun curam, hutan simpan, zon mudah banjir atau kawasan dengan akses jalan yang lemah.
Antara 50 PPS di daerah itu, lima telah dinaiki air semasa banjir pada 2022 dan 38 peratus terletak di lokasi tidak sesuai, sekali gus meningkatkan risiko mangsa.
Kes serupa berlaku di Kedah pada 2024 apabila 227 mangsa terpaksa dipindahkan dari Sekolah Kebangsaan Titi Gajah ke lokasi lebih selamat. Kejadian ini menunjukkan sekadar penyediaan PPS tidak mencukupi.
Perancangan teliti dan pemilihan lokasi strategik amat penting untuk memastikan PPS selamat, mudah diakses dan mampu berfungsi semasa bencana.
Dengan perubahan iklim yang menjanjikan banjir lebih kerap dan teruk, memerlukan tindakan segera hari ini dapat menyelamatkan nyawa esok.-UTUSAN
SHARIKA TASNIM
Ahli Jawatankuasa Institut Diraja Arkitek British (RIBA) & Panel Akreditasi Untuk Lembaga Akreditasi Senibina Kebangsaan (NAAB).










