MALAYSIA pernah berhadapan dengan kemelut keselamatan dalam negara sebelum lahir sebuah negara merdeka.
Ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) menghampiri kemuncaknya berikutan pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak iaitu Arthur Walker; Pengurus Ladang Elphil, John Allison; Pengurus Ladang Phin Soon dan pembantunya Ian Cristian.
Justeru itu, pada 18 Jun 1948, darurat diisytiharkan ke seluruh Tanah Melayu oleh Sir Edward Gent.
Menjelang 8 September 1955, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan deklarasi pengampunan kepada pengganas komunis. Pengumuman tersebut memberikan kesan positif dan usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan bagi membolehkan rakyat bekerjasama dalam memastikan PKM meletakkan senjata.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan para menteri menjelajah ke serata tempat dalam usaha menerang dan menggalakkan gerila komunis menyerah diri.
Rundingan Baling yang diadakan di Sekolah Inggeris Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955 merupakan peristiwa bersejarah negara yang perlu diambil iktibar. Ini adalah perundingan pertama kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan PKM. ‘Operation Pink Gink’ adalah kod rahsia yang digunakan bagi peristiwa bersejarah tersebut.
Kerajaan diwakili Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall manakala PKM oleh Chin Peng, Rashid Maidin serta Chen Tian. Walaupun rundingan ini gagal, namun Abdul Rahman dapat membuktikan kepada British dan orang ramai bahawa kerajaan Perikatan melaksanakan yang terbaik untuk membawa keamanan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.
Ketegasan Abdul Rahman yang memaksa PKM menyerah diri, meletakkan senjata dan dibubarkan menggambarkan keseluruhan sikap beliau dalam perundingan tersebut.
Usaha yang dilakukan beliau sebagai pemimpin jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perikatan untuk membawa keamanan bagi mencapai kemerdekaan.
Persetujuan Chin Peng menyertai Rundingan Baling turut membuktikan PKM semakin lemah dan tidak berwibawa. PKM menjadi semakin lemah selepas negara mencapai kemerdekaan kerana usaha berterusan yang dilakukan kerajaan dalam pembanterasan komunis.
Pertemuan bersemuka tersebut merupakan pengorbanan beliau yang mengetepikan keselamatan diri demi tanah air tercinta. Ternyata beliau adalah seorang tokoh yang berpandangan jauh dan berjaya membentuk kompromi kaum sehingga kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957.
Bagi memperingati peristiwa bersejarah negara, Lembaga Muzium Negeri Kedah mengambil inisiatif membina dan membuka semula Galeri Rundingan Baling bertempat di Sekolah Kebangsaan Tunku Putra, Baling.
Galeri yang penuh informatif tersebut turut mempamerkan sejarah daerah Baling, peristiwa rundingan dan anekdot sehingga negara mencapai kemerdekaan.
Galeri ini seharusnya terus segar dalam menyajikan bahan-bahan terkini yang berkaitan dengan sejarah pembinaan negara. Komuniti tempatan juga perlu terus berperanan sebagai duta dalam mempromosikan galeri berkenaan.
Nilai patriotisme perlu dipugar secara berterusan dan bukan hanya ketika Sambutan Bulan Kebangsaan.
Keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah berikutan pengorbanan oleh generasi terdahulu.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pengerusi Program Sarjana Muda
Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,
Jabatan Tamadun dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)










