Bina masa depan pendidikan lebih inklusif, berdaya saing

Bina masa depan pendidikan lebih inklusif, berdaya saing

RANCANGAN Pendidikan Negara 2026-2035 amat bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 menandakan satu langkah penting dan berwawasan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih inklusif, progresif serta selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan Malaysia.

Pelan jangka panjang ini mencerminkan reformasi pendidikan secara menyeluruh, bukan sekadar bersifat kosmetik atau jangka pendek.

Penekanan terhadap peluasan peluang pendidikan tinggi melalui peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa, termasuk penambahan penerima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta peluasan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), merupakan langkah yang signifikan.

Tambahan 3,000 tempat IPTA bagi 2026 khusus untuk pelajar cemerlang dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang strategik seperti undang-undang, perakaunan, kewangan, ekonomi, kecerdasan buatan, data sains, bahasa dan komunikasi dilihat sejajar dengan keperluan tenaga mahir masa hadapan negara.

Aspek keterangkuman turut dizahirkan melalui inisiatif pendidikan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) merangkumi IPTA, politeknik dan kolej komuniti.

Langkah ini mencerminkan keprihatinan terhadap keadilan sosial serta hak pendidikan untuk semua, selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan keterangkuman.

Dalam konteks pendidikan sekolah, pelaksanaan Reformasi Sekolah Kebangsaan melalui pemilihan Sekolah Inspirasi di setiap daerah memberi isyarat jelas ke arah peningkatan kualiti pengurusan, prasarana dan pengajaran.

Penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting bagi memastikan keseimbangan antara pembinaan jati diri nasional dan keperluan global.

Pengenalan dan peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seawal peringkat sekolah rendah hingga menengah pula merupakan satu pembaharuan yang progresif.

Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET, malah membuka laluan kerjaya yang lebih fleksibel, relevan dan berdaya saing kepada generasi muda, khususnya dalam bidang teknologi dan digital.

Pelaksanaan penilaian pembelajaran baharu yang ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan juga dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.

Pendekatan yang lebih holistik ini diyakini mampu menilai keupayaan sebenar murid secara lebih menyeluruh, tidak lagi tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.

Pelaksanaan secara berperingkat bermula Tahun Empat pada 2026 dan Tingkatan Tiga pada 2027 menunjukkan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan perubahan secara terancang dan bertanggungjawab.

Keputusan membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun secara sukarela bermula 2027 pula memberi fleksibiliti kepada ibu bapa serta mengiktiraf kepelbagaian tahap perkembangan kanak-kanak dalam sistem pendidikan formal.

Dasar mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua jenis sekolah juga dilihat penting dalam memastikan setiap pelajar yang menuntut di Malaysia memiliki kefahaman yang kukuh terhadap bahasa kebangsaan, sejarah serta nilai kenegaraan.

Peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih bilik guru turut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan penting warga pendidik.

Kebajikan dan kesejahteraan guru perlu terus diberi keutamaan kerana persekitaran kerja yang kondusif mempunyai hubungan langsung dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Secara keseluruhannya, kejayaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 amat bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. – UTUSAN

HASNUL HANIFF HARUN
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia/
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Pendidikan & Pembangunan Bakat Majlis Belia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN