Berilah kepercayaan kepada Generasi Z

Berilah kepercayaan kepada Generasi Z

DENGAN kepercayaan dan sokongan yang tepat, generasi Z mampu memimpin negara ke arah lebih inklusif, berdaya saing dan berperikemanusiaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENERASI Z (Gen Z), yang lahir antara 1997 hingga 2012. Mereka membesar dalam era digital yang pantas, dikelilingi internet, telefon pintar, kecerdasan buatan (AI), media sosial dan budaya global yang sentiasa berubah.

Dunia mereka bukan sekadar teknologi tetapi pengalaman unik yang membentuk cara berfikir, berkomunikasi dan bekerja, menjadikan mereka berbeza daripada generasi terdahulu.

Malangnya, Gen Z sering menerima stereotaip negatif seperti ‘mudah rapuh’, ‘manja’ atau ‘Generasi Strawberi’.

Gen Z sebenarnya memiliki potensi besar untuk menjadi pemimpin progresif dan pembentuk masa hadapan negara yang inklusif.

Keupayaan adaptasi Gen Z jelas terserlah semasa pandemik Covid-19. Apabila sistem pendidikan beralih sepenuhnya ke platform digital, mereka belajar menyesuaikan diri, menyusun strategi kendiri dan memanfaatkan teknologi untuk memahami silibus.

Ketahanan psikologi dan mental mereka dalam menghadapi gangguan pembelajaran menunjukkan kekuatan yang jarang diiktiraf masyarakat.

Selain itu, Gen Z menunjukkan kecerdasan emosi yang tinggi. Mereka terbuka membincangkan tekanan dan kesejahteraan mental, bukan kerana manja tetapi kerana memahami nilai pengurusan emosi dan kepentingan persekitaran kerja sihat.

Kemampuan ini menjadikan mereka calon pemimpin yang berempati, mendengar dengan ikhlas dan mengurus manusia dengan kesedaran emosi.

Dari aspek kreativiti, merekalah pencipta kandungan, peniaga digital, pereka visual dan pembangun aplikasi. Dengan hanya telefon pintar, mereka mampu menghasilkan karya kreatif, produk digital dan platform komuniti, mencerminkan cara berfikir pantas, bebas juga inovatif. Keupayaan ini menjadi aset penting dalam ekonomi digital dan inovasi negara.

Gen Z juga menghadapi cabaran pembelajaran akibat pandemik apabila jurang kemahiran praktikal, pengalaman industri terhad dan ketidakseimbangan teori-praktikal.

Menggelar mereka rapuh hanya kerana cabaran ini adalah tidak adil dan tidak membina.

Apa yang penting kini ialah sokongan masyarakat, institusi pendidikan dan majikan. Pendidikan perlu melengkapkan Gen Z dengan latihan praktikal dan pengalaman industri. Majikan wajar menyediakan bimbingan profesional dan ruang untuk berkembang. Masyarakat pula harus mengubah naratif daripada mengkritik kepada menyokong, daripada melabel kepada memahami.

Gen Z mampu menjadi pemimpin progresif, strategik, berdaya tahan dan bersedia memimpin negara dalam era teknologi dan perubahan global jika diberikan peluang, latihan serta kepercayaan.

Malaysia memerlukan mereka sebagai generasi pemimpin yang berani, kreatif, empati dan berprinsip.

Sudah tiba masanya menamatkan stereotaip. Gen Z bukan rapuh, mereka berdiri teguh di tengah dunia mencabar, belajar, berkembang dan terus melangkah ke hadapan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. EZRIN HANI SUKADARIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×