Adakah SPM menguji pelajar atau sistem?

Adakah SPM menguji pelajar atau sistem?

KERTAS peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan terlalu mencabar sehingga majoriti pelajar tidak menjawab dengan yakin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi antara penanda aras paling penting dalam pendidikan negara.

Keputusan SPM bukan sekadar menentukan hala tuju akademik pelajar, malah sering dijadikan ukuran kecemerlangan sekolah, keberkesanan guru dan kualiti sistem pendidikan secara keseluruhan. Justeru, sebarang perbincangan mengenai tahap kesukaran soalan SPM perlu dilihat secara objektif, berfakta dan berhemah.

Mutakhir ini, kebimbangan timbul apabila soalan SPM dilihat terlalu mencabar sehingga majoriti pelajar tidak menjawab dengan yakin. Isu ini bukan menolak soalan aras tinggi atau pemikiran kritis tetapi mempersoalkan sejauh mana soalan tersebut selari dengan silibus yang diajar di sekolah.

Keselarasan antara pengajaran dan penilaian merupakan prinsip asas yang tidak boleh dikompromi.

Pelajar melalui proses pembelajaran hampir lima tahun berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), termasuk latihan, penilaian formatif dan peperiksaan percubaan. Namun, apabila soalan sebenar dilihat di luar jangkaan dan tidak mencerminkan kandungan pembelajaran dominan, maka wujud persepsi jurang antara apa yang diajar dan diuji.

Peperiksaan seharusnya berfungsi sebagai alat diagnostik untuk mengenal pasti kefahaman sebenar pelajar, bukan sekadar mekanisme pemeringkatan. Penekanan berlebihan pada kesukaran ekstrim boleh mengaburkan gambaran sebenar keupayaan pelajar kerana ia lebih menguji kebolehan mentafsir soalan luar jangka daripada penguasaan ilmu.

Akibatnya, keputusan peperiksaan tidak lagi mencerminkan usaha dan prestasi konsisten pelajar sepanjang tempoh persekolahan.

Lebih membimbangkan, pelajar yang gigih menghadiri kelas tambahan dan tuisyen berbayar sering tidak berasa yakin semasa menjawab peperiksaan. Ini menunjukkan ketidakpadanan antara persediaan dan tuntutan sebenar peperiksaan. Jika pelajar berusaha sedaya upaya tetapi masih terasa tersisih daripada soalan yang diuji, keberkesanan penggubalan soalan wajar dinilai semula.

Selain itu, peperiksaan tidak seharusnya menjadi medan menapis pelajar sehingga menjejaskan kesejahteraan emosi. Tekanan menghadapi SPM berada pada tahap tinggi dan apabila sebahagian besar calon keluar dari dewan dengan perasaan kecewa atau hilang keyakinan, satu refleksi menyeluruh perlu dilakukan.

Tekanan ini turut dirasai ibu bapa yang menanggung kos, masa dan tenaga anak-anak mereka.

Sistem pendidikan perlu melahirkan pelajar berfikiran kritis, kreatif dan mampu bersaing. Soalan mencabar diperlukan tetapi cabaran itu mesti berperingkat, berpaksikan silibus dan dibina daripada konteks pembelajaran yang dilalui. Soalan yang muncul secara mendadak tanpa sokongan pedagogi hanya akan mewujudkan jurang pencapaian dan ketidakpuasan masyarakat.

Tambahan pula, kepelbagaian latar belakang pelajar di seluruh negara perlu diambil kira. Jurang kemudahan antara bandar dan luar bandar, kualiti sokongan akademik dan akses kepada sumber tambahan menjadikan kesan soalan kompleks tidak dirasai secara sama rata.

Jika tidak diurus, peperiksaan berisiko memperkukuh ketidaksamaan pendidikan sedia ada.

Sehubungan itu, penilaian semula proses penggubalan soalan SPM amat diperlukan. Penglibatan guru berpengalaman, pakar penilaian, akademia serta wakil masyarakat wajar dipertimbangkan untuk memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan keadilan penilaian.

Peperiksaan berkualiti menguji kecerdasan serta kemampuan berfikir sambil menghormati usaha, masa dan pengorbanan pelajar sepanjang tempoh persekolahan. Keadilan dalam penilaian harus sentiasa menjadi keutamaan untuk membina sistem pendidikan yang dipercayai.-UTUSAN

DR. NOR KAMARIAH KAMARUDDIN
Pensyarah Kanan, Fakulti
Pengurusan Teknologi & Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×