UEC: DAP jangan bermimpi di siang hari

UEC: DAP jangan bermimpi di siang hari

SEPATUTNYA DAP wajar menuntut agar sekolah vernakular, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sedia ada diperkasakan lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN DAP diingatkan agar tidak berterusan meneruskan agenda politik sempit parti berkenaan dalam memporak-perandakan isu perpaduan kaum menerusi sistem pendidikan di negara ini.

Mereka sudah sedia maklum bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah acuan pendidikan negara sebenarnya malah kurikulumnya bukan dari kurikulum kebangsaan.

Umum mengetahui semenjak 1975, menteri pelajaran ketika itu (atas dasar yang rasional) membenarkan UEC dilaksanakan hanya di sekolah swasta di negara ini.

Justeru itu, pada 2012, UEC diberikan pengiktirafan separa/bersyarat bagi tujuan pengambilan guru dalam bidang bahasa Cina sahaja.

Pihak kepimpinan masyarakat Cina khususnya daripada DAP harus bersyukur serta berterima kasih kerana kewujudan UEC dalam menumpang kesinambungan sistem pendidikan negara atas dasar ‘pakai baju ukur badan sendiri’.

Sudah bagi betis nakkan peha nampaknya, setelah dibenarkan untuk beroperasi sekarang mereka tuntut pula supaya UEC setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sepatutnya DAP wajar menuntut agar sekolah vernakular, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sedia ada diperkasa, bukannya berterusan membawa isu yang mampu menggugat serta memecahbelahkan sistem pendidikan di negara ini.

Justeru itu, dalam isu berkenaan dinilai sebagai langsung tiada keperluan terdesak untuk pihak kerajaan mengiktiraf tuntutan berkenaan.

Tuntutan yang lebih bersifat liabiliti politik kepada DAP khususnya setelah ditolak secara total oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini dilihat lebih menjurus kepada agenda psikologi politik bagi mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat kaum Cina.

Adalah disarankan supaya tiada sebarang ultimatum diberikan kepada perdana menteri jika gagal menangani isu UEC berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Sebaliknya, sebagai sebuah parti keramat kepada masyarakat Cina di negara ini, DAP tidak sepatutnya sekadar mengancam untuk keluar dari Kabinet tetapi lebih berprinsip jika mereka mengundurkan diri daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya perdana menteri gagal melunaskan permintaan untuk mengiktiraf UEC.

Kerajaan perlu bijak membuat keputusan, jangan sekadar takut  ‘rugi’ dalam Kabinet. Ini kerana politik sebegini sekadar retorik seumpama perkiraan matematik dua kali lima yang jawapannya tetap sama.-UTUSAN

Pi mai pi mai tang tu jugalah…

RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×