Salah guna kuasa tiada tempat dalam institusi negara

Salah guna kuasa tiada tempat dalam institusi negara

SEBARANG dakwaan salah guna kuasa tidak boleh dipandang ringan tetapi dalam masa yang sama tidak boleh dihukum melalui persepsi atau naratif awam semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mana-mana negara yang berdaulat dan matang, kekuatan sebenar tidak hanya diukur melalui keupayaan ketenteraan atau kemajuan ekonomi semata-mata tetapi juga melalui integriti kepimpinan dan keberanian institusi menolak penyalahgunaan kuasa walau melibatkan jawatan setinggi mana sekalipun.

Kuasa yang diberikan kepada pemimpin tertinggi sama ada dalam ketenteraan, pentadbiran atau politik bukanlah lesen untuk kepentingan peribadi. Ia adalah amanah negara dipikul atas nama rakyat, keselamatan dan kedaulatan negara.

Justeru, sebarang dakwaan salah guna kuasa tidak boleh dipandang ringan tetapi dalam masa yang sama tidak boleh dihukum melalui persepsi atau naratif awam semata-mata.

Negara yang kuat bukan negara yang menutup mata terhadap dakwaan dan bukan juga negara yang menghukum tanpa proses. Negara yang kuat ialah negara yang menyiasat dengan berani bertindak dengan adil dan mengekalkan kestabilan.

Sejarah dan pengalaman menunjukkan bahawa pemimpin yang benar-benar berwibawa tidak lahir daripada retorik atau jawatan semata-mata tetapi daripada watak dan prinsip. Antara ciri utama pemimpin yang dihormati dan disukai rakyat ialah:

Integriti tanpa syarat
Pemimpin berwibawa tidak berkompromi dengan soal amanah, walaupun mempunyai kuasa luas dan akses strategik. Mereka faham bahawa kuasa tanpa integriti adalah ancaman kepada negara.

Pertahan undang-undang
Pemimpin sebenar tidak takut kepada siasatan kerana mereka percaya kepada kebenaran dan proses. Mereka tidak berlindung di sebalik jawatan, pangkat atau pengaruh.

Ketelusan dan kebertanggungjawaban
Pemimpin yang diyakini tidak memanipulasi maklumat atau mengugut dengan pendedahan sensitif. Mereka menyerahkan fakta kepada saluran sah dan menghormati institusi.

Kepentingan negara
Pemimpin berjiwa besar sentiasa meletakkan keselamatan negara, kebajikan anggota dan kestabilan rakyat melebihi kepentingan peribadi atau kelompok.

Ciri-ciri inilah yang menjadi asas kepada keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan dan kepimpinan negara.

Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah keselamatan negara tidak boleh dijadikan alat ugutan. Ancaman pendedahan maklumat sensitif atau berklasifikasi atas nama “pendedahan awam” bukan sahaja tidak beretika malah berpotensi membahayakan kepentingan negara.

Dalam negara berdaulat, pendedahan yang sah mesti dibuat melalui saluran undang-undang bukan melalui tekanan media atau emosi massa. Politik persepsi yang tidak bertanggungjawab hanya melemahkan institusi dan membuka ruang kepada eksploitasi oleh pihak luar.

Akhirnya, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaannya mengurus cabaran dengan matang. Rakyat berhak menuntut integriti. Institusi wajib bertindak tegas. Namun, semua pihak mesti berpaksikan kepada prinsip asas negara iaitu undang-undang, proses dan kedaulatan.

Menolak penyalahgunaan kuasa tidak bermakna menolak institusi. Sebaliknya, ia adalah tanda institusi itu cukup kuat untuk membersihkan dirinya, jika perlu, tanpa runtuh atau hilang arah.

Sebarang isu berkaitan integriti ditangani secara adil, profesional dan bertanggungjawab demi keselamatan negara, maruah institusi dan keyakinan rakyat. – UTUSAN

ORANG KAMPUNG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN