PROGRAM Sekolah Angkat Madani merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta kesejahteraan warga sekolah.
Terbaru, program ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik.
Pelaksanaan program ini dipacu oleh keprihatinan terhadap tragedi yang meragut nyawa seorang murid tahun enam pada 2024, dipercayai akibat renjatan elektrik daripada tiang besi di laluan pejalan kaki sekolah.
Susulan insiden tersebut, peruntukan berjumlah RM100,000 telah disalurkan khusus untuk melaksanakan kerja naik taraf dan penyelenggaraan bagi memastikan keselamatan warga KAFA Integrasi Manbaul ULUM di Selangor sentiasa terjamin dan tragedi serupa tidak berulang.
Skop kerja merangkumi pembaikan keseluruhan pendawaian elektrik, penggantian bumbung yang rosak, penyelenggaraan kemudahan asas, pemberian aset pendidikan serta pelaksanaan program bimbingan kepada guru dan pelajar sebagai usaha memperkasa sistem sokongan sekolah secara menyeluruh.
Program Sekolah Angkat Madani bukan sahaja menaik taraf infrastruktur, tetapi turut memberi manfaat jangka panjang melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif untuk generasi akan datang.
Inisiatif ini memastikan aspek keselamatan dan pendidikan diberi keutamaan melalui kerjasama rentas agensi yang lebih tersusun dan inklusif serta menyokong sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian tambahan.
Kerja-kerja naik taraf yang bermula sejak September lalu merangkumi pembaikan pendawaian elektrik secara menyeluruh, penggantian struktur bumbung serta penyelenggaraan kemudahan asas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan warga sekolah terjamin. – UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Belia dan Sukan Negara










