KEMENANGAN Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York pada 4 November lalu dilihat sebagai simbol penentangan terhadap politik lama bukan sahaja di di Amerika Syarikat (AS) tetapi di dunia. Perkembangan ini membawa pengajaran penting bukan sahaja kepada AS tetapi juga Malaysia.
Pengajaran pertama ialah isu kos sara hidup mesti menjadi agenda utama politik. Mamdani membina sokongan dengan menjadikan perumahan dan kos sewa sebagai teras kempen, bukan sekadar janji umum.
Di Malaysia hari ini, rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang kian menekan. Harga sewa rumah dan keperluan asas melonjak. Jurang antara yang berada dan yang terhimpit semakin melebar. Umpamanya di kawasan seperti Bukit Bintang, yang mana saya aktif bergiat di peringkat akar umbi, tekanan ini lebih ketara kerana melibatkan peniaga kecil, pekerja sektor perkhidmatan, belia bandar dan warga emas yang hidup dalam persekitaran kos tinggi setiap hari.
Di Bukit Bintang, usaha meringankan beban turut disokong di peringkat tempatan melalui penyelarasan program seperti Jualan Rahmah, bantuan pendaftaran dan semakan kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta bimbingan kepada penduduk mengenai penggunaan kemudahan subsidi bersasar seperti BUDI RON95. Ini hasil kerjasama rapat antara pasukan saya dengan agensi-agensi berkaitan.
Pengajaran kedua ialah pendekatan berasaskan akar umbi lebih berkesan berbanding pendekatan yang terlalu berpusat. Mamdani menambat sokongan bukan melalui jentera pilihan raya yang besar tetapi turun padang dan mendekati komuniti.
Model ini lebih dekat dengan realiti Malaysia. Sesi turun padang, mendengar masalah rakyat, berjumpa peniaga kecil serta belia dan menyelesaikan isu di peringkat setempat perlu menjadi amalan biasa, bukan sekadar acara bermusim.
Pengajaran ketiga ialah kredibiliti lahir daripada konsistensi, bukan publisiti. Mamdani dikenali dalam kalangan penyokongnya kerana kerja komuniti yang berterusan sebelum menang pilihan raya Datuk Bandar New York.
Beliau aktif menganjurkan klinik bantuan guaman percuma, menyokong kempen perumahan mampu milik dan konsisten turun padang bersama komuniti imigran serta pekerja berpendapatan rendah, jauh sebelum namanya menjadi tajuk utama media. Kerja-kerja akar umbi ini membina kepercayaan secara perlahan tetapi kukuh.
Di Malaysia, rakyat sudah semakin muak dengan kepimpinan yang sibuk dengan publisiti murahan dan janji kosong. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan program kosmetik. Yang mereka tuntut ialah tindakan sebenar yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Politik Mamdani bukanlah model yang perlu kita tiru bulat bulat. Namun, ia wajar dijadikan iktibar dan rujukan serta peringatan jelas apabila sistem sedia ada gagal memenuhi keperluan rakyat, mereka tidak akan teragak-agak mencari alternatif lain.
Ini bukan tentang individu tetapi tentang keupayaan membina sistem yang lebih beradab, adil dan berpaksikan rakyat.-UTUSAN
BEN FONG KOK SENG
Pengerusi Zon Bukit Bintang, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan










