BARU-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan subsidi besar-besaran bagi dua ubat pengurusan berat badan paling berkesan iaitu Wegovy dan Mounjaro. Langkah ini dianggap proaktif dan berpandangan jauh dalam pengurusan kesihatan awam.
Juga, buat pertama kalinya, sebuah kerajaan besar dunia mengiktiraf obesiti bukan sekadar masalah gaya hidup tetapi penyakit kronik yang wajar dirawat secara klinikal. Mungkin Malaysia juga patut mencontohi langkah ini.
Masalah ini lebih dari sekadar isu berat badan malah melibatkan stigma masyarakat. Dalam budaya kita, kegemukan sering dikaitkan dengan sifat malas atau tidak menjaga diri, sedangkan pelbagai kajian menunjukkan faktor genetik, hormon dan metabolisme memainkan peranan besar. Obesiti bukanlah bermakna seseorang berhadapan kegagalan moral atan mental, sebaliknya merupakan penyakit. Sudah saatnya kita mengakui hakikat ini.
Langkah Trump ini sebenarnya seiring dengan pendirian terkini Persatuan Doktor Perubatan Eropah (EASO) yang mencadangkan ubat seperti Wegovy dan Mounjaro digunakan sebagai rawatan ‘barisan pertama’ untuk obesiti. Menurut EASO, ubat-ubatan ini bukan lagi sekadar tambahan kepada diet dan senaman tetapi ‘rawatan’ utama yang terbukti mampu menurunkan berat badan dengan selamat dan berkesan di samping mengurangkan risiko penyakit metabolik.
Malah, beberapa laporan juga menunjukkan pesakit yang menggunakan ubat ini bukan sahaja kehilangan berat badan, malah memperbaiki tahap gula dalam darah dan tekanan darah. Namun, harganya yang tinggi menjadikannya mustahil untuk diakses oleh kebanyakan rakyat biasa di Malaysia.
Sekiranya kerajaan memperkenalkan subsidi atau insentif cukai bagi ubat-ubat seperti Wegovy atau Mounjaro boleh menyebabkan kos kesihatan awam terutamanya pengurusan penyakit berkaitan obesiti dapat dikurangkan. Begitu juga dengan kes-kes diabetes, serangan jantung dan strok. Stigma obesiti berpunca daripada kelemahan diri juga dapat ‘dipecahkan’.
Dengan rawatan klinikal yang diiktiraf kerajaan dan disokong insurans, masyarakat akan lebih memahami obesiti ialah penyakit. Pada masa sama, rakyat yang lebih sihat akan menjadi tenaga kerja yang lebih produktif. Lebih baik lagi, golongan berpendapatan rendah juga boleh menikmati akses rawatan moden yang selama ini hanya mampu dibeli golongan elit.
Langkah subsidi boleh dimulakan secara berperingkat, misalnya melalui projek perintis di hospital utama dengan kerjasama sektor swasta.
Dalam masa yang sama, pihak insurans kesihatan juga perlu memainkan peranan. Mereka boleh menawarkan pelan yang menampung kos ubat seperti Wegovy atau Mounjaro untuk individu berisiko tinggi. Ini bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan tetapi turut mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam. Malah, syarikat insurans boleh mewujudkan insentif seperti premium lebih rendah untuk pelanggan yang berjaya mengawal berat badan di bawah pemantauan doktor.
Subsidi ubat obesiti juga bukanlah soal kosmetik atau gaya hidup tetapi berkisah kesihatan awam, keadilan sosial dan masa hadapan negara. Langkah ini mungkin mahal pada awalnya tetapi manfaatnya berlipat kali ganda. Dengan ini, rakyat lebih sihat, stigma berkurang dan sistem kesihatan lebih mampan.
Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan individu yang berjuang dengan berat badan dan mula menyokong mereka dengan dasar yang memberikan peluang untuk memperbaiki diri.-UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak










