MALAYSIA berada di persimpangan penting di era pascapandemik dan perubahan teknologi yang pesat. Negara bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi tetapi berusaha memastikan pertumbuhan itu bermakna, inklusif dan lestari.
Konsep Inovasi Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan kelestarian alam, perlu dijadikan nadi transformasi sektor awam, perniagaan dan komuniti.
Pada tahun ini, Malaysia mencatat pencapaian membanggakan. Dalam Indeks Inovasi Global (GII), negara berada di kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi, manakala dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) IMD, Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi. Ini merupakan pencapaian terbaik sejak 2020.
Statistik ini menunjukkan asas kukuh dalam inovasi dan daya saing. Dalam masa sama menandakan perjalanan menuju inovasi madani sebenar masih jauh.
Inovasi perlu inklusif yang bermakna teknologi canggih sahaja tidak mencukupi jika golongan rentan, PKS dan komuniti luar bandar masih terpinggir. Penglibatan seluruh lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, usahawan, komuniti dan penyelidik penting untuk membina ekosistem inovasi yang terbuka dan berdaya tahan.
Selain itu, inovasi mesti lestari. Tenaga boleh baharu, industri semikonduktor dan ekonomi digital harus selari dengan pemulihan alam sekitar, kecekapan sumber dan model ekonomi kitaran. Kerajaan sebagai pembeli utama yang menekankan spesifikasi hijau dan inklusif akan mendorong rantaian bekalan untuk menyahut cabaran ini, menjadikan inovasi bukan hanya pantas tetapi bermanfaat.
Melihat kedudukan Malaysia dalam GII dan WCR, kita harus sedar ini bukan destinasi, tetapi permulaan. Kejayaan global mesti diiringi usaha strategik untuk menembusi Tangga ke-30 ke atas dan memastikan keseimbangan antara teknologi, manusia dan alam terjaga.
Sebagai penggerak transformasi, kita perlu menilai inovasi bukan matlamat semata-mata tetapi alat membina masyarakat adil dan lestari.
Seminar Inovasi Perkhidmatan Awam 2025 pada 18 hingga 19 November lalu di Shah Alam menjadi platform penting untuk berkongsi idea, membina kerjasama rentas sektor dan memetakan jalan inovasi inklusif dan lestari.
Setiap individu, komuniti, dan usaha kecil memainkan peranan dalam mencipta perubahan bermakna. Inovasi madani lahir bukan hanya dari teknologi tetapi dari sumbangan kolektif yang benar-benar menyantuni rakyat dan alam untuk generasi akan datang.-UTUSAN
NORASYIKIN SHAIKH IBRAHIM
Timbalan Ketua Pusat (Inovasi),
Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Bukit Kiara










