Kerjasama baharu buka peluang usahawan F&B

Kerjasama baharu buka peluang usahawan F&B

PERJANJIAN Persefahaman (MoU) antara Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (Kop KGMMB Berhad) dan Kakatoo Malaysia untuk membangunkan usahawan dalam sektor industri makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOPERASI Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (Kop KGMMB Berhad) yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan Kakatoo Malaysia, rangkaian restoran yang mempunyai 12 cawangan di Lembah Klang dan Putrajaya dengan citarasa masakan nyonya kampung memeterai  Perjanjian Persefahaman  (MoU) untuk membangunkan usahawan dalam sektor industri makanan.

Menurut MoU itu, Kakatoo, sempena mengambil nama burung kakak tua,  melalui LJP Kitchen Sdn Bhd, antara lain menyediakan program skim  keusahawanan  kepada 2,000 usahawan. Ia juga menyediakan sokongan kewangan, perkakas, peralatan dan latihan keusahawanan kepada semua peserta yang terlibat.

Kop KGMMB pula akan melaksanakan promosi dan pemasaran dalam kalangan kantin-kantin sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S), menyediakan program Skim Keusahawan untuk semua anggota koperasi.

Sasaran awal, 300 buah sekolah di Wilayah Persekutuan dan  Selangor akan dilibatkan dalam program ini.

Sementara itu,  Ketua Penolong Pengarah (Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia  (SKM), Mohammad Farhan Mohamad Sabri memuji inisiatif Kop KGMMB dan Kakatoo Malaysia yang  membuka peluang kepada golongan yang berminat dalam bidang perniagaan.

Pengerusi Kop KGMMB, Ibrahim Marlan pula menyifatkan usaha ini sebagai  langkah strategik mengukuhkan kedudukan koperasi dalam sektor ekonomi yang lebih kompetitif.

Bagi Pengerusi Kakatoo F&B, Datuk Yusof Izahar berkata pemeteraian kedua-dua pihak itu permulaan kepada program yang lebih besar pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada guru, suri rumah, remaja dan pesara bergiat dalam perniagaan.

Buat permulaan, program itu bermula dengan skim  keusahawanan Natalah Egg Tart.

Skim NataLah Egg Tart membuka peluang kepada peserta untuk memulakan perniagaan tart telur premium yang mudah diusahakan. Berdasarkan statistik pasaran pencuci mulut negara, terdapat lebih 10 juta biji egg tart terjual di Malaysia setiap tahun, membuktikan permintaan pasaran yang tinggi dan konsisten.-UTUSAN

KOPERASI KESATUAN GURU-GURU MELAYU MALAYSIA BARAT & KAKATOO MALAYSIA

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×