USUL Jabatan Imigresen Malaysia untuk daftar semula pelarian tepat pada masanya.
Inilah peluang terbaik untuk menapis teliti pelarian ekonomi yang menggunakan pas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu.
Kemakmuran ekonomi negara ini menjadi faktor yang menarik pelarian ke Malaysia.
Selain pelarian Rohingya yang lari ke Malaysia akibat penindasan di Myanmar, terdapat juga kes warga Asia Selatan dari Bangladesh menyamar kononnya mereka adalah pelarian Rohingya.
Kerajaan Myanmar menolak menerima sebahagian pelarian Rohingya dari kem pelarian di Bangladesh dengan alasan sebahagian daripada mereka sebenarnya warganegara Bangladesh yang berpindah ke Rakhine atas sebab tertentu dan bercampur dengan etnik Rohingya sebenar.
Banyak kes pemalsuan dokumen melibatkan sindiket didalangi imigran Asia Selatan seperti Bangladesh dan Pakistan yang berada di Malaysia.
Risiko untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kad UNHCR palsu sangat tinggi kerana ia hanya sekadar sekeping kertas disalut plastik yang sangat mudah dipalsukan.
Kad UNHCR seolah lesen besar buat pelarian termasuk PATI untuk bebas bergerak, buat kerja sendiri tanpa majikan seperti mengambil upah memotong rumput, mengutip barang terpakai, sebagai ‘tukang rumah’, pajak tanah orang kampung untuk menanam sayur dan berniaga di pasar.
Atas faktor keselamatan, saya cadangkan pihak berkuasa menapis teliti pemilihan vendor bagi mengeluarkan dokumen pendaftaran pelarian bagi mengelakkan warga asing menggunakan proksi warga tempatan untuk membuka syarikat sebagai vendor program.
Kerjasama dijalinkan dengan persatuan Rohingya tulen bagi memastikan kesahihan identiti pelarian yang mendaftar, bagi membezakan mereka dengan etnik Bengali dari Bangladesh. Sebarang pelarian palsu yang menyamar menggunakan pas UNHCR akan dihantar pulang.-UTUSAN
MOHD ZULKURNAIN
Kuala Lumpur










