Guru sejahtera, pelajar cemerlang inspirasi Jepun untuk Malaysia

Guru sejahtera, pelajar cemerlang inspirasi Jepun untuk Malaysia

MALAYSIA perlu memperkukuh pengurusan sekolah dan menggunakan teknologi secara bijak bagi memastikan tenaga guru tidak terbuang pada birokrasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia pendidikan negara yang kian kompleks, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi turut mengurus pelbagai urusan pentadbiran. 

Sebaliknya, Jepun sering dijadikan contoh sistem pendidikan yang berjaya menyeimbangkan tanggungjawab pengajaran dan pentadbiran. Guru di Jepun tetap berdepan tekanan kerja, namun sistem sokongan dan budaya kerja mereka menekankan kecekapan dan kerjasama. 

Kerajaan Jepun memahami  motivasi guru bergantung kepada keseimbangan antara pengajaran dan tugas pentadbiran, lantas pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan guru dapat fokus pada pembelajaran pelajar.

Di Malaysia, beban pentadbiran bertambah terutamanya melalui sistem pelaporan digital bertindan seperti Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM), Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM),Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dan e-Rancangan Pengajaran Harian (eRPH). Walaupun bertujuan memudahkan pemantauan, guru terpaksa menghabiskan berjam-jam di hadapan komputer, terutamanya di luar bandar yang menghadapi masalah capaian internet menyebabkan masa merancang pengajaran berkualiti semakin berkurangan.

Berbeza di Jepun, tanggungjawab pentadbiran diagihkan secara sistematik. Setiap sekolah mempunyai staf sokongan profesional seperti Kakitangan Sokongan Pentadbiran Sekolah (SASS) yang menguruskan dokumentasi dan laporan rutin. Guru hanya memberi input utama, manakala staf menyiapkan laporan akhir. Pendekatan ini membolehkan guru menumpukan perhatian terhadap penyediaan bahan dan strategi pengajaran.

Budaya kolaboratif juga sangat tinggi. Sistem Kajian Pengajaran membolehkan guru merancang, memerhati dan menilai sesi pengajaran secara berkala, meningkatkan kualiti pengajaran dan menjadi wadah refleksi profesional. 

Di Malaysia, konsep Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) wujud, namun pelaksanaannya kadangkala terjejas akibat beban pentadbiran yang tinggi.

Kerajaan memperkenalkan inisiatif Mengurangkan Beban Pentadbiran Guru (RTAR) bagi meringankan beban guru, termasuk pengurusan rekod disiplin dan laporan aktiviti kokurikulum oleh pembantu tadbir.

Walaupun membantu, kesan perubahan masih kurang ketara di peringkat sekolah. Sementara itu, Jepun melaksanakan Pembaharuan Gaya Kerja Guru mengehadkan jam kerja guru kepada 45 jam seminggu, menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan serta menyediakan sokongan psikologi dan masa rehat wajib. Pendekatan ini terbukti meningkatkan motivasi dan kesejahteraan mental guru.

Penggunaan teknologi di Jepun juga lebih terancang. Sistem digital bersepadu meminimumkan pengulangan kerja, memudahkan pengurusan data pelajar dan prestasi akademik secara automatik.

Dari segi budaya kerja, guru di Jepun amat dihormati dan dianggap penjaga nilai moral. Di Malaysia, guru masih dilihat perlu serba boleh, menjadi pengurus data, jurugambar, pereka poster dan penyelaras program secara serentak, yang menghakis profesionalisme mereka.

Malaysia boleh mencontohi Jepun dengan memperkukuh peranan pembantu tadbir pendidikan, menyusun semula hierarki pengurusan sekolah  dan menilai keperluan laporan bagi mengurangkan pertindihan data. Selain itu, kesejahteraan psikososial guru perlu diberi perhatian melalui program bimbingan, sokongan rakan sejawat dan mentoran untuk guru baharu.

Malaysia perlu memperkukuh pengurusan sekolah dan menggunakan teknologi secara bijak bagi memastikan tenaga guru tidak terbuang pada birokrasi.-UTUSAN

 

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN

Bekas Tokoh Guru Kebangsaan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×