Bahaya komunikasi tanpa jiwa

Bahaya komunikasi tanpa jiwa

GENERASI sunyi lahir bukan kerana teknologi tetapi kerana manusia menyerahkan jiwa mereka tanpa sedar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, rumah bukan lagi ruang untuk berehat atau berhubung secara jiwa, sebaliknya dipenuhi bunyi notifikasi, televisyen dan media digital.

Ibu bapa sibuk menatap skrin untuk kerja atau hiburan, sementara anak-anak, yang sepatutnya belajar interaksi manusia mencari perhatian di luar rumah, dalam dunia maya yang memberi respons lebih pantas daripada suara ayah atau ibu.

Fenomena ini menandakan komunikasi tanpa jiwa apabila interaksi yang kehilangan kedalaman emosi dan makna. Emoji menggantikan nada suara, ‘tanda suka’ menggantikan pelukan dan mesej pendek menggantikan perhatian penuh.

Rumah moden bising, namun sunyi secara emosional. Anak-anak ketawa tetapi ketawa itu tidak bergema dalam interaksi keluarga. Mereka tahu bercakap, menulis mesej tetapi gagal membaca emosi.

Tanpa proses makna bersama menyebabkan komunikasi keluarga menjadi dangkal. Anak kini lebih cepat mendapatkan jawapan dari media sosial berbanding ibu bapa, sekali gus menjadikan media sosial sebagai pengganti keintiman, sementara kepercayaan dan pemahaman emosi merosot.

Masa berkualiti bukan sekadar duduk bersama atau mengikuti rutin tetapi kehadiran yang penuh rasa. Anak-anak boleh mahir teknologi tetapi kekok menafsir kasih sayang.

Komunikasi tanpa jiwa perlahan-lahan menghakis hubungan, mengurangkan kepercayaan dan melahirkan generasi yang memandang hubungan sebagai transaksi atau dalam kata lain hanya memberi perhatian hanya jika mendapat balasan.

Rumah berubah menjadi ruang urus niaga emosi, bukan lagi tempat membina identiti dan empati.

Generasi sunyi lahir bukan kerana teknologi tetapi kerana manusia menyerahkan jiwa mereka tanpa sedar. Komunikasi tanpa jiwa adalah ancaman halus terhadap masa hadapan emosi anak bangsa.

Dalam dunia penuh suara, tugas kita ialah mengembalikan makna pada setiap kata dan roh pada setiap perbualan, supaya anak-anak tidak mencari suara di luar apabila yang mereka perlukan ada di rumah sendiri. – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH &
MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) &
Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN