Apa penyelesaian bagi kes jenayah di sekolah?

Apa penyelesaian bagi kes jenayah di sekolah?

SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu tanpa sedikit pun rasa takut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU, pelanggaran disiplin pelajar di sekolah dianggap ringan dan jarang menjadi perhatian meluas.

Kes seperti bergaduh kecil, ponteng, merokok di kawasan sekolah, merosakkan harta guru atau lari dari kelas biasanya dapat diselesaikan dengan cepat. Namun, kini situasinya semakin serius.

Kes buli, serangan seksual beramai-ramai dan pembunuhan antara pelajar semakin kerap berlaku, termasuk di sekolah berasrama penuh.

Pada tahun ini sahaja, beberapa kes serius seperti rogol beramai-ramai dan tikam pelajar hingga mati direkodkan di sekolah berbeza dalam tempoh singkat.

Tidak wajar menuding jari sepenuhnya kepada guru, ibu bapa, pelajar, polis atau sistem pendidikan semata-mata. Semua pihak perlu mengenal pasti punca disiplin rendah yang membawa kepada jenayah di sekolah.

Dalam Islam, terdapat ajaran jelas untuk membezakan yang baik dan buruk, yang boleh dijadikan asas dalam mendidik pelajar agar menjauhi perbuatan negatif.

Beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk:

Konsep Mentor-Mentee

Sekiranya belum diterapkan, sekolah perlu mewujudkan atau memperkukuh program mentor-mentee. Guru mentor dapat mengenali latar belakang, minat, kekuatan dan kelemahan pelajar.

Rekod peribadi pelajar perlu disimpan untuk tujuan pemantauan awal. Pertemuan disyorkan sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan.

Kerjasama ibu bapa

Mentor harus melaporkan tingkah laku negatif pelajar kepada ibu bapa, sama ada secara bersemuka atau bersurat, dengan persetujuan jawatankuasa disiplin atau pengetua. Tujuannya bukan memalukan tetapi menyelesaikan masalah secara harmoni.

Ceramah undang-undang

Sekurang-kurangnya sekali setahun, pihak polis atau badan berkuasa lain boleh memberi ceramah mengenai undang-undang jenayah, memberi kesedaran kepada pelajar tentang akibat perbuatan yang melanggar undang-undang.

Poster pendidikan

Selain poster motivasi, sekolah boleh mempamerkan poster tentang kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan serta hukuman yang dikenakan. Ini membantu pelajar memahami yang baik dan buruk dari segi undang-undang negara.

Peranan ibu bapa di rumah

Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk memberi nasihat, motivasi positif dan memantau tingkah laku anak. Jika terdapat tingkah laku negatif, maklumat boleh dikongsi secara rahsia dengan guru untuk tindakan awal.

Jenayah di sekolah bukan hanya masalah disiplin biasa tetapi isu yang memerlukan kerjasama seluruh ekosistem pendidikan.

Pelajar dapat dibimbing menjauhi jenayah serta membina generasi yang lebih bertanggungjawab melalui pendekatan menyeluruh, pemantauan dan pendidikan nilai.-UTUSAN

TEROPONG DO RE ME
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×