DALAM zaman ekonomi yang sukar ini, apabila kebanyakan rakyat Malaysia sukar untuk memenuhi keperluan hidup, beberapa organisasi termasuk institusi perbankan masih mengaut keuntungan besar.
Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa adalah adil jika bank tempatan membantu meringankan beban rakyat.
Satu cara yang pasti adalah dengan melihat semula pelbagai caj yang dikenakan ke atas bil kad kredit bulanan. Selain daripada caj penggunaan bulanan, kami dikenakan pelbagai caj lain yang menambah jumlah yang agak besar.
Sekiranya pihak bank boleh bertimbang rasa dan membantu dalam masa sukar ini, ia amat dihargai.
Bank-bank sudah mengaut keuntungan berjuta-juta dan adalah adil jika mereka boleh melakukan sesuatu untuk meringankan beban rakyat Malaysia.
Terdahulu, amat menggembirakan apabila melihat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengambil inisiatif memperjuangkan pemansuhan yuran pengeluaran RM1 yang dikenakan kepada pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Ia adalah kempen yang agresif, dengan banyak kenyataan media dan sokongan kuat daripada beberapa ahli politik tetapi pada akhirnya bank-bank tidak goyah.
Bagaimanapun, selepas usaha terakhir itu, tidak banyak laporan mengenai apa yang dilakukan oleh kesatuan perbankan untuk membantu ahlinya mahupun orang awam Malaysia.
Mungkin NUBE kehilangan taringnya kerana tiada laporan mengenai sebarang tindakan positif di pihak mereka sejak sekian lama.
Walau bagaimanapun, di sebalik bantuan daripada NUBE, pihak bank boleh mempertimbangkan rayuan ini dan membantu meringankan sedikit beban kami.-UTUSAN
AZURA MOHD. ISHAM
Subang Jaya, Selangor










