Sejauh mana impak ahli akademik kepada negara?

Sejauh mana impak ahli akademik kepada negara?

MALAYSIA yang komited terhadap perlindungan flora dan fauna wajar memperkukuh dana penyelidikan, latihan bakat baharu dan program kesedaran awam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ahli akademik bukan hanya pendidik atau penyelidik, tetapi pemikir dan pembina dasar yang melakar masa hadapan masyarakat. Mereka digilap melalui perjalanan panjang daripada peringkat sarjana muda hingga doktor falsafah sebelum menyumbang kembali melalui pengajaran, penyelidikan dan penerbitan ilmiah.

Kepakaran ini wajar diterjemah kepada sumbangan nyata kepada masyarakat dan pembentukan dasar kerajaan.

Baru-baru ini, masyarakat akademik meraikan pencapaian saintis Malaysia yang tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis berimpak tinggi dunia, diterbitkan Universiti Stanford dan Elsevier berdasarkan pangkalan data Scopus.

Senarai ini mengenal pasti tokoh akademik yang memiliki impak sitasi tertinggi dalam pelbagai bidang. Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama saintis berkenaan, malah memperkukuh kredibiliti Malaysia dalam arena penyelidikan global.

Namun, sumbangan sebenar ahli akademik perlu turut diukur melalui impak kepada masyarakat, dasar awam dan kelestarian alam.

Misalnya, bidang sains alam sekitar dan kepelbagaian biologi kini semakin kritikal di tengah-tengah krisis ekologi dunia. Peranan akademia dalam bidang ini amat penting, bukan sekadar dari sudut penyelidikan tetapi juga advokasi dan tindakan lapangan bagi melindungi ekosistem negara.

Sebagai antara negara yang paling kaya dengan kepelbagaian biologi, Malaysia memerlukan lebih ramai ahli akademik yang mengkaji ribuan spesies flora dan fauna endemik serta terancam.

Kajian berkaitan taksonomi, ekologi dan genetik mampu memberikan pemahaman mendalam terhadap biologi spesies tempatan dan membantu dalam usaha pemuliharaan. Dalam era perubahan iklim yang semakin ketara, penyelidikan sedemikian perlu digiatkan dengan sokongan geran penyelidikan dan insentif sewajarnya.

Data saintifik yang dikumpul melalui penyelidikan menjadi asas kepada pembentukan Rancangan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan, pengiktirafan Tapak Ramsar dan pewujudan zon perlindungan marin.

Kepupusan Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrenesis) dipercayai berpunca daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram, manakala populasi Harimau Malaya, Gajah Asia, Tapir Malaya, Ungka Tangan Putih dan Tenggiling semakin merosot akibat konflik manusia-haiwan dan kelemahan pengurusan habitat. Semua ini menuntut penyelidikan saintifik yang lebih komprehensif.

Malaysia yang komited terhadap perlindungan flora dan fauna wajar memperkukuh dana penyelidikan, latihan bakat baharu dan program kesedaran awam.

Kawasan perlindungan sama ada hutan darat atau taman laut perlu mempunyai pangkalan data lengkap flora dan fauna untuk pengurusan berasaskan bukti. Penemuan spesies baharu juga amat penting untuk memperkaya maklumat biodiversiti negara.

Hasil penyelidikan yang kukuh bukan sahaja membantu pihak pengurusan habitat dan penguatkuasaan undang-undang tetapi turut menyumbang kepada pendidikan, kesedaran awam dan pembangunan dasar kerajaan. Oleh itu, pengiktirafan kepada ahli akademik perlu dilihat secara menyeluruh bukan hanya berdasarkan jumlah penerbitan tetapi juga nilai dan impak kepada masyarakat dan negara.

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menonjolkan kepakaran dan sumbangan ilmuwan dalam bidang strategik seperti biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.

Pengisytiharan sasaran atau komitmen baharu dalam bidang-bidang ini akan memperkukuh imej KPT sebagai peneraju pembangunan ilmu dan inovasi yang berpaksikan kesejahteraan masyarakat serta alam semula jadi.

Di sebalik setiap penyelesaian terhadap isu alam sekitar, terselit sumbangan ahli akademik yang tekun berjuang di makmal, di lapangan dan di bilik kuliah. Merekalah nadi sebenar kemajuan ilmu dan khazanah negara. – UTUSAN

DR. AHMAD ISMAIL
Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN