KERAJAAN perlu memberi perhatian serius untuk memastikan pengeluaran kelapa sawit di negara ini tidak terus merosot akibat keadaan pokok yang semakin tua.
Perkara tersebut diakui Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut beliau, setakat ini terdapat seluas 520,000 hektar ladang sawit matang tidak diganti dengan tanaman baharu sekali gus menjejaskan pengeluaran dan daya saing industri sawit negara dalam jangka panjang.
Malah, tambahnya, akibat situasi sedemikian juga dijangka negara berisiko kehilangan hampir RM7 bilion hasil eksport sawit jika pokok sawit yang berusia lebih 25 tahun tidak diganti.
Dengan kekangan kewangan dan belanja yang tinggi, pekebun kecil sawit tidak mampu melaksanakan tanaman semula pokok sawit di kebun mereka.
Justeru, saya menyokong saranan menteri terbabit agar kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan kepada pekebun kecil sawit bagi membolehkan mereka menanam semula. Dari apa yang dimaklumkan, setakat ini peruntukan bantuan dari kerajaan amat jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar yang diperlukan.
Akibat kekurangan peruntukan tersebut, kadar penanaman semula pokok sawit hanya sekitar dua peratus, sedangkan sasaran ideal empat hingga lima peratus setahun.
Saya amat berharap agar pihak kerajaan menyedari hakikat itu bagi memastikan kemampuan negara yang sudah sekian lama terkenal dengan pengeksport utama minyak sawit dapat dikekalkan.
Dalam hal ini, saya tidak setuju adanya cadangan mengadakan perbincangan dengan pihak bank untuk memberi pinjaman kepada para pekebun kecil dengan mencagarkan ladang mereka.
Apa yang dibimbangkan, jika pekebun-pekebun kecil itu tidak mampu membayar balik pinjaman, akhirnya tidak mustahil tanah ladang mereka akan menjadi milik bank.
Dengan sebab demikian, sekali lagi saya mengharapkan agar kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya untuk menyediakan peruntukan mencukupi bagi membolehkan semua pokok getah tua milik para pekebun kecil terbabit dapat ditanam semula.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










