Malaysia teraju hab pelancongan Islam global

Malaysia teraju hab pelancongan Islam global

MASJID Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Lokasi Pelancongan Islamik Terbaik di Anugerah Industri Pelancongan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG 2028, pasaran pelancongan Muslim global dianggarkan mencecah nilai lebih AS$225 bilion (RM949.5 bilion) dengan jumlah pelancong Muslim melebihi 230 juta orang.

Sebagai negara Islam moden yang aman dan berinfrastruktur baik, Malaysia mempunyai peluang besar untuk merebut sebahagian besar pasaran ini.

Data semasa menunjukkan pelancong kini gemar memanjangkan tempoh penginapan dan mengekalkan corak perbelanjaan yang stabil. Pelaksanaan inisiatif pelancongan mesra Muslim bukan sahaja mengukuhkan daya saing industri, malah meningkatkan tarikan negara kepada pelancong antarabangsa.

Menurut laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2024 oleh Mastercard-CrescentRating, Malaysia mengekalkan kedudukan teratas sebagai destinasi mesra Muslim paling popular di dunia.

Kejayaan ini adalah hasil strategi bersepadu kerajaan dan industri dalam menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa serta memupuk kesedaran pelancongan Islamik.

Secara global, pelancongan Islamik kini dilihat sebagai ekosistem menyeluruh yang menggabungkan ibadah, nilai rohani, budaya, pendidikan dan rekreasi.

Malaysia memiliki semua ramuan penting untuk muncul sebagai hab pelancongan Islamik dunia termasuk ekosistem halal mantap, kestabilan politik, infrastruktur pelancongan baik dan masyarakat Muslim majoriti yang mempraktikkan gaya hidup syariah.

Dua konsep utama sering menjadi rujukan dalam industri ini iaitu Pelancongan Islamik dan Pelancongan Mesra Muslim. Pelancongan Islamik menekankan pengalaman berasaskan nilai dan warisan Islam seperti lawatan ke masjid bersejarah, muzium Islam, seni khat dan festival keagamaan.

Sementara itu, Pelancongan Mesra Muslim lebih menitikberatkan pematuhan syariah seperti makanan halal, kemudahan solat, fasiliti mesra keluarga dan aktiviti tanpa alkohol. Malaysia memiliki kelebihan untuk menawarkan kedua-duanya secara serentak.

Kekuatan utama Malaysia termasuklah warisan Islamik dan ikon pelancongan seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Lokasi Pelancongan Islamik Terbaik di Anugerah Industri Pelancongan 2025. Selain itu, rangkaian bekalan halal yang menyeluruh daripada makanan, kosmetik hingga farmaseutikal memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju pelancongan Islamik.

Kepelbagaian budaya dan hospitaliti masyarakat turut menjadi aset penting. Infrastruktur moden seperti lapangan terbang antarabangsa, hotel pelbagai segmen, pengangkutan cekap dan kemudahan mesra keluarga menyokong aspirasi menjadikan Malaysia destinasi pelancongan Islamik pilihan dunia.

Potensi sub-segmen pelancongan juga perlu diteroka dengan serius. Bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Kota Bharu boleh membangunkan pakej Jejak Warisan Islam dan Rohani Bandar yang menampilkan masjid ikonik, muzium dan galeri khat. Lawatan berpandu berjadual dan pengalaman interaktif boleh memperkayakan tawaran pelancongan Islamik negara.

Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh dijadikan model pusat kecemerlangan pelancongan Islamik dengan pameran interaktif, lawatan berpandu pelbagai bahasa, latihan pemandu pelancong masjid, serta ruang kraf Islamik tempatan. Namun begitu, penyediaan garis panduan serta modul khusus perlu digubal bagi menjaga adab dan hukum lawatan pelancong bukan Muslim ke masjid. Akreditasi khas pemandu pelancong Islamik wajar diwujudkan meliputi etika ziarah, fiqh pelancongan dan komunikasi antara agama.

Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memimpin pelancongan Islamik global dengan menawarkan pengalaman yang menggabungkan nilai, ilmu dan kemudahan mesra Muslim. Kejayaan sebenar bukan sekadar pada label halal tetapi pengalaman menyeluruh daripada perancangan digital hingga kenangan yang dibawa pulang pelancong.

Dengan hala tuju strategik meliputi pembangunan pusat kecemerlangan, piawaian seragam, pendigitalan maklumat, inovasi produk bertema, latihan bakat industri dan pemasaran berkesan menjadikan Malaysia bukan sahaja meraih manfaat ekonomi tetapi turut mengangkat martabat warisan Islam sebagai teras pelancongan berakhlak dan lestari.

Pelancongan Islamik bukan lagi segmen kecil tetapi pemangkin ekonomi dan imej negara. Dengan pendekatan holistik berasaskan budaya, teknologi dan nilai kemanusiaan, Malaysia berpotensi bukan sekadar mengekalkan status destinasi mesra Muslim nombor satu dunia tetapi muncul sebagai Hab Pelancongan Islamik Global yang unggul dan diiktiraf dunia.-UTUSAN

Datuk Azlie Halim
Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK) & Timbalan President Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×