Berpisah dengan bermaruah

Berpisah dengan bermaruah

PERCERAIAN yang dilaksanakan dengan baik menuntut kedua-dua pihak memelihara maruah masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REALITI masa kini menunjukkan semakin ramai pasangan bercerai yang menzahirkan pertelingkahan secara terbuka di media sosial. Ada yang menghina dan memburukkan bekas pasangan sehingga menjejaskan maruah diri serta mencerminkan kemerosotan akhlak pasca perceraian.

Perbuatan ini bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 229 yang menegaskan prinsip tasrih bi ihsan, iaitu berpisah dengan cara yang baik.

Menurut Ibn Kathir, prinsip ini menuntut perceraian dilaksanakan mengikut ketentuan syariat, bukan berpaksikan emosi. Walaupun perpisahan sering berpunca daripada konflik dan rasa kecewa, Islam tetap menyeru agar berpisah secara ihsan bagi mengelakkan kemelut lebih besar dan menjaga kebajikan anak-anak.

Perceraian yang dilaksanakan dengan baik menuntut kedua-dua pihak memelihara maruah masing-masing. Suami dilarang mendedahkan keburukan isteri dan begitu juga sebaliknya.

Menjaja kisah rumah tangga atau membuka aib pasangan jelas ditegah dalam Islam kerana mencemarkan nilai ihsan yang perlu dikekalkan walaupun ikatan telah terlerai. Tambahan pula, apabila wujud amanah bersama berupa zuriat, hubungan penuh hormat dan matang amat diperlukan.

Setiap pihak juga perlu berhemah dalam pertuturan kerana kata-kata kesat boleh menimbulkan permusuhan berpanjangan dan memberi kesan buruk terhadap anak-anak.

Pepatah ‘kerana mulut badan binasa’ mengingatkan agar kita berhati-hati dalam berkata-kata. Suami isteri yang berpisah tetap wajib menunaikan tanggungjawab termasuk nafkah iddah dan anak-anak selaras dengan tuntutan syarak.

Perceraian bukan noktah kehidupan, sebaliknya peluang memulakan lembaran baharu yang lebih bermakna.

Pasangan yang mengekalkan budi pekerti selepas perceraian menzahirkan teladan mulia kepada anak-anak dan masyarakat. Anak-anak yang membesar dalam suasana positif akan memahami kasih sayang sejati tidak terhenti dengan perceraian.

Dalam dunia yang kian pudar nilai empati, kemampuan berbuat baik terhadap bekas pasangan adalah manifestasi jihad akhlak yang tinggi nilainya di sisi Islam. Oleh itu, kursus pra dan pasca perkahwinan wajar diperkukuh dengan penekanan terhadap adab dan akhlak selepas perceraian agar prinsip ihsan terus subur dalam masyarakat.-UTUSAN

NUR FAEZAH MUSTHAPAR
Pensyarah,
Pusat Sains Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN