PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 mengukuhkan komitmen jangka panjang Malaysia untuk membentuk bandar lestari, berdaya huni serta inklusif sebagai asas kemajuan negara dan kesejahteraan bersama.
Belanjawan 2026 mengalihkan tumpuan daripada pertumbuhan semata-mata kepada pertumbuhan yang menambah mutu kehidupan rakyat. Ia mengiktiraf kesalinghubungan antara kesejahteraan sosial, peluang ekonomi dan daya tahan alam sekitar.
Kejayaan bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan berterusan dan kerjasama merentasi sektor kerajaan, swasta serta masyarakat awam.
Momentum positif di sebalik inisiatif Warisan KL menggambarkan bagaimana usaha pemulihan bandar dapat mengembalikan daya hidup, memperkukuh identiti dan menyemai semula keyakinan terhadap ibu negara.
Pemuliharaan dan penggunaan semula mercu tanda seperti Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Kuala Lumpur serta Kompleks Dayabumi mencerminkan semangat kebersamaan dalam menghidupkan semula teras bersejarah Kuala Lumpur sebagai lambang perpaduan nasional.
Sektor budaya dan kreatif pula terus memainkan peranan penting dalam menghidupkan ekonomi bandar. Pelaburan Belanjawan dalam tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Lembah Lenggong, Gunung Mulu serta Taman Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di samping galakan insentif kepada industri kreatif, menegaskan komitmen untuk memartabatkan identiti nasional. Ia juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kebudayaan dan inovasi rantau ini.
Tumpuan terhadap perumahan awam, kemudahan komuniti dan infrastruktur tempatan menandakan anjakan penting ke arah pembangunan berpusatkan rakyat.
Usaha menaik taraf kemudahan Program Perumahan Rakyat (PPR), penyelenggaraan perumahan strata serta penambahbaikan infrastruktur komuniti merupakan langkah asas bagi mengurangkan jurang sosial dan spatial yang wujud antara masyarakat bandar. Penglibatan berterusan masyarakat akan menjadi kunci kepada keberhasilan jangka panjang.
Dalam masa sama, pelaburan strategik dalam pengangkutan awam, pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan transit responsif permintaan (DRT) memperkukuh peranan keterhubungan dalam kehidupan bandar.
Akses mobiliti yang dipertingkat dapat membuka peluang kepada pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah bandar padat rendah karbon.
Belanjawan turut memperkukuh aspek daya tahan bandar melalui pelaburan mitigasi banjir, keselamatan cerun dan infrastruktur berasaskan alam semula jadi yang mengiktiraf kestabilan alam sekitar adalah asas kepada ekonomi berdaya tahan.-UTUSAN
THINK CITY
Kuala Lumpur










