Adakah Gen Z mampu menjadi pekerja yang boleh diharap?

Adakah Gen Z mampu menjadi pekerja yang boleh diharap?

SEJAUH manakah Gen Z bersedia menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan sebenar yang dinamik serta mencabar?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN buku Grown Up Digital: How the Net Generation is Changing Your World, karya Don Tapscott (2009), Generasi Z, atau lebih dikenali sebagai GenZ ditakrifkan sebagai golongan yang lahir sekitar 1998 hingga 2009. Mereka merupakan generasi yang membesar dalam dunia digital, terbiasa dengan teknologi serta mempunyai pandangan kerja dan kehidupan yang berbeza daripada generasi sebelumnya. Kini, semakin ramai daripada mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan. Persoalannya, sejauh manakah Gen Z bersedia menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan sebenar yang dinamik serta mencabar?

Salah satu kekuatan utama Gen Z merupakan kecekapan mereka dalam teknologi digital. Mereka bukan sahaja pantas mempelajari perisian dan sistem baharu, malah mampu menggunakan media sosial serta platform digital bagi memperluaskan lagi jaringan profesional dan peluang kerjaya. Dalam era di mana transformasi digital menjadi keutamaan organisasi, kemahiran ini menjadikan Gen Z sebagai aset yang amat bernilai. Namun begitu, cabaran utama ialah bagaimanakah mereka menyeimbangkan kelebihan digital dengan kemahiran insaniah seperti komunikasi, empati dan kerjasama berpasukan yang turut menjadi tunjang dunia pekerjaan.

Bagi majikan, memahami corak pemikiran dan nilai kerja Gen Z mungkin menjadi cabaran terbesar kepada mereka. Hal yang demikian kerana, golongan ini menekankan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, mencari makna dalam pekerjaan serta lebih cenderung memilih organisasi yang menitikberatkan nilai kemanusiaan dan kelestarian. Justeru, majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang lebih fleksibel, memberi ruang kepada kreativiti, dan menggalakkan budaya kerja berasaskan kepercayaan. Namun pada masa yang sama, Gen Z juga perlu memahami fleksibiliti hadir bersama tanggungjawab. Disiplin masa, kecekapan tugasan dan komitmen antara elemen yang menjadi teras profesionalisme.

Selain itu, Gen Z wajarlah mengurangkan kebergantungan kepada keselesaan digital. Walaupun komunikasi secara dalam talian kini menjadi kebiasaan, namun kemahiran berinteraksi secara bersemuka tetap penting, terutamanya dalam membina keyakinan diri dan hubungan profesional jangka panjang.
Dunia pekerjaan sebenar menuntut ketahanan mental, kebolehan menyesuaikan diri dengan tekanan, serta keupayaan menerima maklum balas secara terbuka tanpa ada rasa tersinggung.

Gen Z yang bakal atau baru melangkah ke alam pekerjaan, bersedialah untuk belajar dan menyesuaikan diri. Dunia kerja tidak sentiasa ideal seperti yang digambarkan di media sosial. Ada masa anda akan menghadapi kegagalan, teguran dan tugasan yang mencabar. Semua itu bukan bentuk penindasan tetapi proses pembelajaran yang membentuk kematangan profesional. Tunjukkan inisiatif, sikap ingin tahu, serta semangat untuk lebih maju.

Akhir sekali, saya secara peribadi yakin Gen Z mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan positif dalam dunia kerja.

Dengan gabungan teknologi, idealisme, dan semangat inovasi, Gen Z mampu mencipta landskap pekerjaan yang lebih inklusif, fleksibel dan berdaya saing.

Namun, kejayaan itu hanya dapat dicapai jika mereka mampu menyeimbangkan antara nilai moden dan asas disiplin kerja tradisional kerana dalam apa jua zaman, komitmen dan etika kerja tetap menjadi kunci utama kejayaan.-UTUSAN

AZIQAH YAZID
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN