DALAM dunia digital yang semakin bergantung kepada teknologi dan data, isu keselamatan siber menjadi antara tumpuan utama bagi semua negara.
Antara entiti yang sering disebut dalam konteks keupayaan risikan siber ialah Briged 8200, sebuah unit ketenteraan elit Israel yang dikenali di peringkat antarabangsa kerana kepakaran dalam pengumpulan maklumat, analisis data dan pembangunan teknologi perisikan.
Briged 8200 sering dikaitkan dengan inovasi teknologi tinggi, termasuk pembangunan algoritma kecerdasan buatan (AI), pemantauan komunikasi dan analisis data berskala besar.
Walaupun keupayaannya diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia, pendekatan serta impak terhadap privasi dan keselamatan global turut menimbulkan pelbagai persoalan etika.
Misalnya, apabila sebuah organisasi media menerbitkan video bual bicara berkisarkan inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF) di platform TikTok baru-baru ini, ada yang menghentam aktivis yang mengikuti inisiatif pelayaran berkenaan.
Apabila disemak 90 peratus yang mengecam itu ialah akaun palsu dan mungkin daripada Briged 8200 atau mereka yang sudah termakan dedak zionis di negara ini.
Berwaspadalah apabila kita melihat atau membaca komen negatif di media sosial dan lihat latar belakang pemilik akaun di sebalik komen itu.
Tabayyun, jangan kita mudah percaya dan leka dengan gerakan licik mereka. Cabaran utama hari ini bukan sekadar soal keupayaan teknologi, tetapi juga tanggungjawab moral dan undang-undang dalam penggunaannya.
Aktiviti pemantauan dan pengumpulan data berskala besar, jika tidak dikawal, berpotensi menjejaskan hak asasi serta keselamatan individu dan organisasi di seluruh dunia.
Dalam era digital, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada aset fizikal, tetapi juga keupayaan melindungi data, infrastruktur kritikal dan maklumat strategik.
Oleh itu, pelaburan dalam keselamatan siber serta pembangunan kepakaran tempatan amat penting bagi memastikan kedaulatan digital negara terjamin. – UTUSAN
BASRI JAYA
Bangi, Selangor










