Tingkat fasiliti sekolah bantu cegah kes buli

Tingkat fasiliti sekolah bantu cegah kes buli

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU buli di sekolah terus menjadi ancaman senyap yang menjejaskan kesejahteraan pelajar. Sudah sampai masanya rakyat bersatu untuk membebaskan sekolah daripada budaya penindasan yang menekan jiwa generasi muda.

Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal tetapi juga bebas daripada ketakutan, penindasan dan ketidakadilan yang masih wujud dalam sistem pendidikan.

Sudah tiba masanya kita merdekakan sekolah daripada menjadi medan trauma dan ketakutan kepada pelajar. Semangat jiwa merdeka perlu diterjemahkan dalam tindakan yang berani dan bermakna.

Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan sebanyak 8,820 kes buli dilaporkan di sekolah menengah sepanjang tahun 2023. Sehingga Oktober 2024, sebanyak 5,703 kes melibatkan 11,594 pelajar telah direkodkan. Jenis buli yang berlaku merangkumi fizikal, lisan, sosial dan siber.

Kajian turut mendedahkan 40 peratus pelajar mengaku pernah membuli, manakala 30 peratus pernah menjadi mangsa. Satu daripada tiga pelajar pernah dibuli secara dalam talian, namun lebih separuh memilih untuk berdiam diri.

Justeru itu, pengurusan fasiliti sekolah perlu dilihat sebagai barisan hadapan dalam membanteras budaya buli.

Reka bentuk bangunan yang selamat, ruang sokongan emosi, sistem aduan mesra pelajar dan latihan berkala adalah antara pendekatan yang boleh diambil oleh pihak sekolah.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk:

Reka bentuk fizikal selamat: Kurangkan kawasan titik buta, pasang kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan pastikan pencahayaan mencukupi.

Ruang sokongan emosi: Wujudkan bilik kaunseling mesra pelajar dan ruang zon selamat untuk perlindungan sementara.

Sistem aduan selamat: Sediakan kotak aduan rahsia, aplikasi digital dan sesi kaunseling terbuka.

Latihan dan kesedaran: Laksanakan bengkel anti-buli, latihan staf dan kempen visual yang memupuk empati.

Jawatankuasa antibuli: Tubuhkan jawatankuasa khas melibatkan guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti serta lantik pelajar sebagai duta antibuli.

Fasiliti bukan sekadar bangunan, ia adalah perisai yang melindungi jiwa anak-anak kita. Sekolah yang dibina dengan semangat empati dan keberanian bukan sahaja menjadi tempat belajar, tetapi juga tempat berlindung dan dihormati. – UTUSAN

Profesor Dr. Rozilah Kasim
Jabatan Pengurusan Harta Tanah
Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×