Tidak perlu tunggang isu diskriminasi untuk agenda sendiri

Tidak perlu tunggang isu diskriminasi untuk agenda sendiri

SISTEM Unit Pusat Universiti (UPU) mengambil kira bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga kapasiti program, pilihan kursus dan peluang rayuan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mengikuti isu kemasukan Unit Pusat Universiti (UPU) yang melibatkan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) baru-baru ini namun malangnya ia ditunggang dengan baik oleh MCA. Malah dilihat seperti ingin menyalakan sentimen perkauman.

MCA harus sedar, tidak semua keresahan rakyat itu boleh ditunggang untuk agenda sendiri. Menunggang kesusahan individu hanyalah kerja murahan, umpama menabur garam ke luka demi mencari sorakan.

Jabatan Pendidikan Tinggi sudah memberikan penjelasan. Pelajar berkenaan tetap mendapat tawaran universiti, namun kursus yang dipohon amat terhad dan kompetitif.

Sistem UPU mengambil kira bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga kapasiti program, pilihan kursus dan peluang rayuan. Sudah terang ditunjukkan ini bukanlah diskriminasi terancang, sebaliknya realiti proses penempatan puluhan ribu permohonan setiap tahun.

Kendatipun kita juga tidak boleh menutup mata, sebaliknya perlu akui sistem UPU juga ada kelemahannya. Isu ini boleh dielakkan dengan lebih awal jika pihak kementerian lebih telus dalam soal data di dalam UPU.

Seperti yang ditegaskan Architects of Diversity (AoD) di dalam kajian mereka, jika data permohonan, penawaran dan pengambilan diumum secara terbuka, rakyat dapat menilai dengan adil, tambahan ahli politik tidak lagi bebas mencipta naratif kaum kerana data menceritakan segala-galanya.

Ketelusan adalah kunci untuk mengelakkan kes UPU dimanipulasi semula.

Diskriminasi memang ada dan wajib diperangi tetapi mengada-adakan diskriminasi itu adalah suatu perkara yang tidak bijak dan perlu dinoktahkan.-UTUSAN

FADHLI UMAR AMINOLHUDA
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN