PADA akhir 2023, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Walau bagaimanapun, pada akhir Jun 2025 jumlah hutang Kerajaan Persekutuan mencecah RM1.3 trilion atau 64.7 peratus.
Manakala liabiliti keseluruhan kerajaan adalah RM1.69 trilion bersamaan 84.1 peratus daripada KDNK. Peningkatan peratus yang berterusan ini memberi cabaran yang negatif kepada prestasi ekonomi Malaysia.
Kenaikan perbelanjaan kerajaan terutamanya untuk menangani isu-isu sosial ekonomi dan infrastruktur, menyebabkan defisit belanjawan yang berterusan serta peningkatan pembiayaan hutang tambahan.
Malahan untuk Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM470 bilion, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Defisit belanjawan yang berterusan tidak baik untuk petunjuk prestasi ekonomi Malaysia.
Pada 2022, jumlah kos bayaran kadar faedah hutang kerajaan sebanyak RM40.5 bilion dan dijangka meningkat pada RM 58.3 bilion pada 2026.
Peningkatan jumlah kos pembayaran kadar faedah hutang ini boleh meningkatkan kos pembayaran balik hutang, seterusnya akan menjejaskan kestabilan kewangan negara pada masa hadapan.
Sebagai contoh, eksport pada Mei 2025 turun 1.1 peratus disebabkan pengurangan penghantaran ke China, manakala eksport pada Jun 2025 turun 5.2 peratus kerana kejatuhan eksport domestik.
Eksport keluaran pertanian juga menyusut 8.6 peratus pada Julai tahun ini disebabkan pengurangan eksport minyak sawit.
Dari jumlah hutang isi rumah warga Malaysia bernilai RM1.65 trilion pada Mac 2025 yang terdiri 84.3 peratus daripada KDNK, jumlah ini meningkat daripada RM1.63 trilion pada akhir Disember 2024.
Penyumbang utama hutang ini datang dari pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, dan pinjaman peribadi.
Kerajaan berusaha untuk memperluaskan asas cukai, seperti pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi meningkatkan pendapatan negara.
Tadbir urus kewangan juga diperkukuhkan dalam inisiatif untuk mengurangkan rasuah dan ketirisan serta salah guna kuasa.
Pelan Rasionalisasi Diesel dan Petrol juga boleh membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan dalam membantu menyerap tekanan hutang persekutuan.
Melalui pengurangan kos subsidi boleh mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Malahan apungan harga sumber makanan salah satu langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.
Sebagai rumusan, dalam menangani cabaran peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan, disarankan kepada kerajaan untuk terus meningkatkan kadar pertumbuhan KDNK dalam peratus yang tinggi, seperti lima ke enam peratus.
Dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan hutang kerajaan kekal pada 1.3 trilion, ini dapat menampung pembayaran balik jumlah hutang.
Walaupun defisit fiskal negara berjaya dikurangkan dari lima peratus (2023); 4.1 peratus (2024) 3.8 peratus (2025) dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada 2026, kadar pertumbuhan ekonomi negara perlu lebih cepat berkembang dari peningkatan jumlah hutang negara.–UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MASTURAH MA’IN
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan,
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam










