ISU buli dalam kalangan pelajar sekolah kekal sebagai kebimbangan yang masih belum menemui penyelesaian tuntas. Buli, sama ada berbentuk fizikal, lisan, mental mahupun siber, merupakan perbuatan agresif yang sengaja diulang bagi menyakiti mangsa.
Bagi menangani masalah ini, pendekatan menyeluruh diperlukan, bukan sekadar hukuman tetapi juga membina kesedaran nilai rahmat seperti yang dituntut dalam Islam.
Rahmat membawa maksud belas kasihan, kasih sayang dan kurniaan. Allah menegaskan rahmat adalah ketetapan-Nya, malah Rasulullah SAW diutus sebagai rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam). Nilai rahmat inilah yang wajar menjadi asas dalam membendung gejala buli.
Sayyid Ahmad bin Idris, seorang ulama besar, mengemukakan empat kaedah penting untuk membentuk akhlak dan mengawal nafsu seperti muhasabah, keredaan Allah, rahmat dan kemuliaan akhlak. Antara intipatinya:
• Menempatkan sifat rahmat kepada sesama
Muslim Menghormati orang tua, menyayangi anak kecil serta memuliakan orang berilmu.
• Memahami rahmat sebagai warisan Rasulullah
Sifat kasih Baginda kepada umat Islam menjadi teladan dalam membina hubungan sesama manusia.
• Memelihara kehormatan Allah SWT
Berkasih sayang sesama umat Islam sebahagian daripada menjaga kehormatan agama.
• Memandang mulia sesama Muslim
Islam menegah keras sikap menghina, mengejek atau merendahkan orang lain.
Buli bukan sekadar salah dari sudut peraturan sekolah atau undang-undang, malah ia adalah pengingkaran terhadap perintah Allah. Perbuatan ini mencemarkan akhlak, merosakkan hubungan sesama manusia dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Oleh itu, penanaman nilai rahmat perlu bermula dengan mendidik diri agar memiliki kasih sayang, menghargai orang lain dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
Kefahaman tentang al-Quran dan hadis juga penting agar setiap Muslim benar-benar sedar menghormati, menyayangi dan tidak menzalimi adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Kesimpulannya, rahmat ialah kunci pencegahan buli. Jika nilai ini diterapkan dalam pendidikan, keluarga dan masyarakat, ia mampu membentuk generasi yang berakhlak mulia, saling menghormati dan bebas daripada budaya menzalimi sesama manusia.-UTUSAN
SURIA SAAD
Guru Takmir Wilayah Persekutuan










