Sekolah bukan lagi zon selamat?

Sekolah bukan lagi zon selamat?

Kalendar Akademik Tahun 2026 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 11 Januari 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI tikaman di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mengejutkan seluruh negara.

Suspek, pelajar lelaki berumur 14 tahun, ditahan bersama senjata tajam yang digunakan. Insiden ini bukan sekadar kes jenayah remaja, tetapi cerminan krisis jiwa dan kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan serta kawalan emosi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan mesyuarat Kabinet membincangkan dasar baharu berkaitan keselamatan dan disiplin sekolah. Beliau menegaskan bahawa pendidikan mesti menumpukan kepada pembinaan rohani dan moral, bukan sekadar kecemerlangan akademik.

Keganasan pelajar mencerminkan ketandusan spiritual dan kegagalan pendidikan jiwa. Tekanan sosial, ketagihan media serta pengaruh budaya tular menanam sifat marah dan kebencian dalam diri remaja.

Sekolah yang sepatutnya menjadi ruang selamat kini terdedah kepada bahaya akibat lemahnya pengawasan dan disiplin. Program sahsiah pula sering terhad kepada ceramah tanpa bimbingan berterusan yang menyentuh hati dan jiwa pelajar.

Islam menegaskan bahawa penjagaan nyawa (hifz al-nafs) adalah prinsip utama dalam syariat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 32 bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seorang manusia… seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya.”

Hadis Nabi SAW pula menyatakan bahawa seorang Muslim ialah mereka yang membuat orang lain selamat daripada lidah dan tangannya. Nilai ini menuntut kawalan diri, empati dan kasih sayang sesama manusia.

Oleh itu, keluarga perlu menjadi benteng pertama membina disiplin dan emosi anak-anak. Sekolah mesti memperkukuh bimbingan kaunselor serta sistem amaran awal bagi pelajar berisiko, manakala kerajaan perlu menggubal dasar keselamatan yang bersepadu dengan pendidikan akhlak dan nilai Islam.

Tragedi ini harus menjadi peringatan nasional pendidikan sebenar bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang, tetapi insan berjiwa ihsan. Sekolah wajar menjadi taman ilmu dan kasih sayang, bukan medan dendam dan darah. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI & DR. NIK AIRIN AQMAR NIK AZHAR
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×