Perluas fokus risiko gempa bumi, bukan sekadar kebakaran

Perluas fokus risiko gempa bumi, bukan sekadar kebakaran

KERAJAAN melalui pihak berwajib perlu mengeluarkan piawaian baharu yang mewajibkan latihan kecemasan pelbagai risiko supaya dapat melindungi nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kejadian gegaran kecil seperti yang berlaku di Segamat, Johor membuka mata banyak pihak yang Malaysia tidak lagi kebal daripada ancaman gempa bumi.

Meskipun negara ini terletak di luar Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara seismik, namun gegaran lemah di beberapa kawasan menunjukkan risiko bencana ini wujud dan semakin relevan.

Persoalannya kini, adakah pelan tindakan kecemasan sedia ada seperti di sekolah, kilang, bangunan tinggi atau organisasi besar masih relevan jika hanya memfokuskan kepada kebakaran semata-mata?

Jawapannya jelas, sudah tiba masa kita melangkaui pendekatan konvensional. Pelan tindakan kecemasan perlu dikemaskini, diperluas dan disesuaikan dengan pelbagai senario risiko termasuk gempa bumi.

Pelan kecemasan di Malaysia sejak sekian lama dirangka dengan memberi tumpuan utama kepada kebakaran. Ini tidak menghairankan,kerana kebakaran merupakan insiden paling biasa dan mudah dijelaskan.

Hampir semua sekolah menjalankan latihan kebakaran secara berkala, manakala kilang pula dilengkapi dengan sistem penggera, hos kebakaran dan alat pemadam api sebagai kelengkapan standard.

Namun, bencana seperti gempa bumi walaupun jarang, membawa potensi kemusnahan yang jauh lebih besar. Ia memberi impak bukan sahaja kepada struktur fizikal tetapi juga kepada psikologi manusia.

Dalam situasi gempa, panik boleh menyebabkan lebih banyak kecederaan berbanding gegaran itu sendiri terutama apabila tiada latihan atau pengetahuan asas tentang tindakan yang wajar diambil.

Di sekolah, latihan kebakaran yang rutin boleh diperluaskan kepada latihan evakuasi pelbagai bencana. Pelajar dan guru mesti diberi pengetahuan mengenai prinsip asas ketika gempa bumi berlaku iaitu tunduk, berlindung di bawah meja kukuh dan berpegang sehingga gegaran berhenti.

Selepas itu, evakuasi dilakukan dengan teratur. Latihan ini boleh digabungkan bersama latihan kebakaran sebagai satu pendekatan bersepadu yang lebih menyeluruh.

Di kilang pula, risiko gempa membawa implikasi yang lebih kompleks. Getaran boleh menyebabkan mesin berat terganggu, tumpahan bahan kimia berlaku atau kebakaran sekunder tercetus. Maka, pelan kecemasan kilang mesti memasukkan protokol tambahan seperti penutupan mesin kecemasan, pemeriksaan tangki gas dan evakuasi pekerja mengikut zon berisiko tinggi.

Latihan bersama pasukan bomba dan agensi berkaitan juga perlu diperluas untuk meningkatkan kecekapan respons.

Bagi penghuni bangunan tinggi, senario gempa bumi menimbulkan cabaran yang unik. Berbeza dengan kebakaran, penggunaan tangga ketika gegaran boleh mengundang risiko jika struktur tidak stabil. Maka, penting untuk melatih penghuni supaya bertindak mengikut protokol yang betul iaitu berlindung dahulu, dan hanya bergerak selepas situasi selamat.

Sistem penggera bangunan juga perlu diprogramkan agar boleh membezakan isyarat antara kebakaran dan gempa bumi, mengelakkan kekeliruan yang boleh membawa padah.

Organisasi sama ada sekolah, pejabat atau kilang perlu mengamalkan latihan kecemasan pelbagai senario, bukan sekadar latihan formaliti tahunan.

Simulasi gempa bumi, banjir kilat atau kebocoran kimia boleh dilaksanakan secara berkala untuk membina budaya tangkas dan bersedia.

Dalam masa sama, kit kecemasan bencana yang mengandungi lampu suluh, bekalan air minum, topeng habuk, alat pertolongan cemas dan senarai nombor kecemasan perlu disediakan di tempat strategik. Kit ini harus mudah dicapai ketika bencana berlaku.

Kerajaan pula mempunyai tanggungjawab untuk mengemaskini dasar dan garis panduan keselamatan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bergabung tenaga mengeluarkan piawaian baharu yang mewajibkan latihan kecemasan pelbagai risiko.

Dalam masa sama, reka bentuk bangunan baharu khususnya kilang dan bangunan tinggi harus memenuhi piawaian minimum rintangan seismik.

Perubahan ini akan menjadikan sistem keselamatan negara lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN