ENAKMEN perlindungan pengguna diwujudkan bagi melindungi masyarakat daripada amalan perdagangan tidak adil, memastikan keselamatan produk serta memperkukuh hak pengguna. Undang-undang ini menjadi asas penting kepada kesejahteraan pasaran dan keyakinan rakyat terhadap sistem ekonomi.
Antara hak utama yang dijamin termasuk keselamatan, iaitu perlindungan daripada barangan dan perkhidmatan berbahaya; hak untuk maklumat tentang harga, kualiti dan asal usul produk serta memilih pelbagai barangan pada harga berpatutan.
Pengguna juga mempunyai hak untuk didengar, membaiki atau menuntut ganti rugi dan pendidikan pengguna supaya celik terhadap hak dan tanggungjawab mereka.
Undang-undang ini turut mengekang amalan tidak adil seperti pengiklanan palsu, manipulasi harga serta penjualan barang tiruan. Ia memastikan persaingan yang sihat dan melindungi pengguna daripada eksploitasi.
Bagi memperkukuh penguatkuasaan, beberapa agensi diwujudkan termasuk Tribunal Tuntutan Pengguna yang menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian cepat dan kos rendah. Agensi kawal selia turut memantau pematuhan piawaian, manakala persatuan pengguna berperanan memperjuangkan kepentingan awam.
Dengan prosedur aduan yang jelas, pengguna kini lebih berani membuat tuntutan dan menyuarakan hak mereka. Kesedaran ini bukan sahaja memperkasa pengguna tetapi juga menggalakkan peniaga mengekalkan kualiti serta integriti perniagaan.
Akta Perlindungan Pengguna 1999 di Malaysia melarang amalan perdagangan tidak adil serta menyediakan saluran keadilan mudah diakses melalui tribunal khas.
Akhirnya, perlindungan pengguna bukan sekadar undang-undang tetapi manifestasi keadilan sosial memastikan setiap urus niaga berlaku dengan jujur, selamat dan beretika demi kesejahteraan bersama.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Pengguna Negeri Sembilan










