FENOMENA rasisme atau perkauman merupakan isu global yang tidak pernah reda sepanjang sejarah peradaban manusia. Ia merentasi sempadan geografi, budaya, malah agama.
Di Malaysia, sebuah negara majmuk yang terdiri daripada etnik Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak serta komuniti kecil lain. Cabaran menanganinya amat besar.
Rasisme bukan sekadar prejudis antara individu tetapi juga boleh menjelma dalam bentuk diskriminasi institusi, ketidakadilan sosioekonomi dan retorik politik yang memecahbelahkan masyarakat. Justeru, usaha membendungnya perlu berpaksikan semangat negara bangsa Malaysia yang mana kesepaduan identiti kebangsaan berakar daripada Perlembagaan, Rukun Negara serta aspirasi untuk hidup aman dan sejahtera.
Rasisme merujuk kepercayaan sesuatu kaum lebih unggul atau sebaliknya. Ia biasanya disertai diskriminasi, stereotaip negatif dan layanan tidak adil.
Di Malaysia, ia dapat dikenal pasti melalui beberapa manifestasi. Pertama, stereotaip budaya yang diperkuat media sosial, filem atau ujaran politik. Kedua, diskriminasi dalam peluang ekonomi, pekerjaan dan pendidikan. Ketiga, politik identiti yang menekankan perbezaan etnik sehingga menjejaskan integrasi nasional.
Walaupun Malaysia sudah lebih enam dekad merdeka, isu perkauman masih muncul dari semasa ke semasa. Ini membuktikan perpaduan nasional ialah ‘projek’ berterusan yang memerlukan komitmen kerajaan, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan setiap individu.
Konsep negara bangsa Malaysia terbentuk melalui sejarah panjang, termasuk dasar pecah dan perintah British yang memisahkan etnik dari segi geografi dan ekonomi. Orang Melayu tertumpu di desa, orang Cina di bandar dan lombong, manakala orang India di estet. Jurang ini menanam benih prasangka antara kaum.
Selepas merdeka pada 1957, pemimpin terdahulu menyedari perpaduan kaum kunci kestabilan negara. Perlembagaan Persekutuan digubal dengan kontrak sosial yang merangkumi kedudukan istimewa Melayu, hak kewarganegaraan kaum lain serta prinsip keadilan sosial.
Rukun Negara pada 1970 pula menjadi tonggak moral dan falsafah identiti kebangsaan. Usaha ini diteruskan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional, Wawasan 2020, Gagasan Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani. Semuanya bertujuan mengimbangi keadilan sosioekonomi dan memperkukuh integrasi.
Rasisme membawa kesan buruk yang serius. Pertama, ia menjejaskan keharmonian sosial dengan menimbulkan rasa curiga sehingga boleh mencetuskan konflik, seperti tragedi 13 Mei 1969. Kedua, diskriminasi mengekang potensi modal insan dan seterusnya menurunkan daya saing ekonomi negara. Ketiga, imej Malaysia tercalar di mata dunia kerana berlawanan dengan prinsip hak asasi manusia. Keempat, politik berasaskan kaum menurunkan kualiti demokrasi apabila retorik populis lebih diutamakan berbanding dasar rasional untuk kepentingan bersama.
Pendekatan membanteras rasisme boleh dilakukan melalui beberapa langkah penting:
– Pendidikan holistik : Kurikulum sekolah harus menekankan toleransi, empati dan kesederhanaan. Subjek Sejarah mesti disusun secara inklusif agar sumbangan semua kaum diiktiraf. Aktiviti kokurikulum dan program pertukaran pelajar pula dapat memupuk persahabatan merentas etnik.
– Media dan teknologi digital : Media perlu menonjolkan kepelbagaian secara positif manakala undang-undang mengekang ujaran kebencian mesti dikuatkuasakan. Literasi media rakyat juga penting untuk menapis maklumat palsu.
– Politik inklusif : Ahli politik perlu menolak retorik perkauman dan memperjuangkan isu rakyat merentas kaum seperti kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan kesihatan. Parti politik wajar menstrukturkan organisasi supaya lebih pelbagai kaum.
– Keadilan sosioekonomi : Hak bumiputera tetap dipertahankan tetapi dasar afirmatif mesti dilaksana secara telus dan berdasarkan merit. Bantuan pendidikan, perumahan dan pembangunan usahawan perlu bersifat inklusif agar semua golongan miskin mendapat manfaat.
– Budaya dan seni : Festival kebudayaan serta sambutan perayaan utama boleh menjadi jambatan interaksi sosial. Filem, muzik dan kesusasteraan mampu mengangkat naratif kemanusiaan sejagat melebihi sempadan etnik.
Semangat negara bangsa Malaysia berpaksikan prinsip kesetiaan kepada negara, keutuhan Perlembagaan, keadilan sosial, kepelbagaian sebagai aset dan integrasi nasional.
Identiti nasional tidak bermaksud menghapuskan kepelbagaian budaya, sebaliknya meraikannya sebagai kekuatan yang mendorong kreativiti, inovasi dan daya saing global.
Dalam era digital, cabaran rasisme lebih kompleks. Media sosial mempercepat penyebaran kebencian, manakala tekanan ekonomi boleh mencetuskan rasa tidak puas hati etnik. Konflik antarabangsa turut mempengaruhi persepsi tempatan, menjejaskan hubungan dalaman jika tidak ditangani dengan bijak.
Menangani rasisme bukan tugas mudah, tetapi ia tanggungjawab moral dan nasional. Malaysia hanya akan terus bertahan sebagai negara majmuk jika rakyatnya berpegang pada semangat negara bangsa yang inklusif, adil dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Pendidikan, politik, media, ekonomi dan budaya perlu digerakkan bersama untuk membina masyarakat bebas prejudis.-UTUSAN
MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Politeknik Hulu Terengganu










