Lemahnya sistem perlindungan kanak-kanak

Lemahnya sistem perlindungan kanak-kanak

PUSAT asuhan kanak-kanak wajar diperkasa dengan sistem pemantauan lebih ketat agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa terjamin. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES kecederaan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan kematian para ibu bapa serta mereka yang terpaksa meletakkan anak-anak kecil di pusat asuhan kini hidup dalam kebimbangan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes penderaan dan kecuaian terhadap kanak-kanak semakin meningkat.

Di Melaka sahaja, 306 kes penderaan dilaporkan pada 2023 berbanding hanya 86 kes pada 2022.

Secara nasional, sehingga Ogos 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima lebih 2,000 laporan penderaan kanak-kanak termasuk kes kematian akibat kecuaian seperti ditinggalkan dalam kenderaan.

Perkembangan ini menuntut tindakan segera memperkukuh sistem penjagaan awal kanak-kanak. Langkah ini bukan bertujuan mencari salah mana-mana pihak tetapi memastikan tragedi yang boleh dielakkan tidak terus berlaku.

Ramai ibu bapa berada dalam dilema antara faktor ekonomi dan cuti bersalin yang terhad memaksa mereka bergantung pada pusat jagaan. Namun, kualiti perkhidmatan serta kesediaan pengasuh menghadapi kecemasan masih belum seragam.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuklah memperluas skop kawal selia pusat jagaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) supaya aspek keselamatan kanak-kanak dikawal pakar pediatrik.

Pengasuh pula wajar dilengkapkan dengan latihan pertolongan cemas dan pengetahuan asas kesihatan bayi.

Di samping itu, sistem akreditasi pusat jagaan perlu ditambah baik dengan memberi penekanan pada keselamatan dan kesejahteraan menyeluruh, bukan sekadar syarat pendaftaran.

Bagi jangka panjang, dasar cuti bersalin berbayar sekurang-kurangnya enam bulan dengan pilihan sambungan fleksibel perlu dipertimbangkan. Hakikatnya, ibu adalah pengasuh terbaik pada tahun-tahun awal kehidupan anak. Kehadiran ibu memberi bukan sahaja nutrisi, malah jaminan emosi dan keselamatan yang sangat penting dalam pembentukan perkembangan awal.

Kajian antarabangsa menunjukkan bayi yang dijaga oleh ibu sepanjang enam bulan pertama lebih sihat, seimbang dan stabil emosinya ketika dewasa.

Melindungi nyawa kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan melalui program sukarelawan, pemantauan komuniti dan advokasi kesedaran.

Pendidikan awam mengenai pemilihan pusat asuhan berdaftar serta tanda-tanda penderaan mesti diperluas melalui media sosial, ceramah komuniti dan kursus keibubapaan.

Lebih penting, budaya prihatin perlu dipupuk. Apabila pusat asuhan dianggap sebagai tanggungjawab bersama, masyarakat akan lebih berani melaporkan salah laku dan tidak memandang sepi kecuaian.

Peranan jiran, rakan sekerja dan keluarga juga tidak boleh diketepikan kerana mereka mampu menjadi benteng awal dalam mencegah tragedi.

Dalam kerangka Islam, menjaga nyawa (hifz al-nafs) adalah antara objektif utama maqasid syariah. Nabi Muhammad SAW menegaskan setiap orang adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap yang berada di bawah jagaannya (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini menjelaskan tanggungjawab terhadap anak kecil bukan sekadar peribadi tetapi amanah sosial.

Ibn Qayyim turut menegaskan anak-anak adalah amanah Allah. Jika mereka dibesarkan dalam suasana cuai, keseluruhan struktur sosial akan terjejas. Justeru, kerajaan sebagai pemegang kuasa awam mesti menyediakan dasar dan infrastruktur untuk menyokong ibu bapa termasuk cuti bersalin mencukupi, pusat jagaan selamat serta latihan pengasuh yang komprehensif. Ia bukan sekadar soal polisi tetapi cerminan keprihatinan negara terhadap generasi masa hadapan.

Beberapa inisiatif kerajaan seperti pemasangan plak pendaftaran berkod QR di taska dan Program Advokasi Perkhidmatan Taska yang dilancarkan pada 2024 menunjukkan langkah progresif.

Namun, usaha ini perlu dilengkapkan dengan dasar lebih menyeluruh agar sistem penjagaan anak menjadi lebih selamat, profesional dan berperikemanusiaan.

Setiap nyawa yang hilang adalah tragedi, bukan hanya buat keluarga mangsa tetapi juga buat masyarakat. Ia seharusnya menjadi peringatan agar kita lebih serius memperbaiki sistem, menyantuni keperluan ibu bapa dan membina ekosistem penjagaan anak yang selamat.

Penambahbaikan ini bukan hanya demi ibu bapa dan anak-anak mereka tetapi demi kita semua demi masa hadapan negara dan nilai kemanusiaan yang mesti terus dijunjung. – UTUSAN

NAJWA ABD. GHAFAR
Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN