PADA ketika dan waktu ini, 47 buah kapal dalam misi kemanusiaan menuju ke Gaza, bumi Palestin, ada yang sudah sampai ke zon merah menuju Gaza. Tanpa senjata, mereka tekad meneruskan pelayaran dengan kapal yang hanya dipenuhi dengan bahan-bahan makanan, ubatan dan keperluan harian buat masyarakat yang disekat hak mereka demi kelangsungan hidup.
Melibatkan penyertaan lebih daripada 44 buah negara, misi ini turut disertai oleh sukarelawan lelaki dan wanita daripada Malaysia seramai 34 orang dengan harapan dapat menembusi sekatan Israel yang bersungguh-sungguh untuk menghalang kemasukan bantuan ke tebing Gaza.
Berita dan kisah pelayaran mereka ini pasti tidak akan dapat diikuti tanpa peranan media. Jika sukarelawan-sukarelawan yang berlayar berjuang untuk berhadapan dengan Israel secara nyata, kita sebagai warganegara Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf negara haram itu perlu bersungguh untuk sama-sama memainkan peranan dalam menekan dan mendesak mereka secara psikologi agar menghentikan serangan ke atas Palestin melalui media.
Kita dapat lihat dengan jelas, media di Malaysia memainkan peranan yang sangat besar dalam mendapatkan maklumat secara terus dengan sumber-sumber utama untuk dikongsikan kepada masyarakat.
Radio, televisyen, akhbar sama ada secara cetakan atau secara digital elektronik, berita-berita Sumud Flotila sentiasa menjadi bahan berita utama yang pasti akan menjadi tumpuan penting bagi pembacanya.
Sumber-sumber inilah yang akan terus menjadi maklumat utama buat masyarakat agar tahu dan sedar situasi politik yang sedang berlaku sekarang.
Akaun-akaun media sosial terus dipenuhi dengan berita-berita dan maklumat berkenaan misi ini tidak kira pempengaruh, selebriti, ataupun rakyat biasa. Dengan penyebaran maklumat-maklumat tanpa sempadan ini, tidak mustahil kuasa dunia akan tunduk dengan tekanan yang diberikan oleh rakyat. Lihat sahaja kesan yang berlaku ke atas Sepanyol baru- baru ini.
Akibat desakan rakyat dan disokong oleh suara dunia melalui media sosial, negara mereka berjaya menghantar kapal tentera untuk melindungi dan mengiringi rombongan Flotila daripada sebarang serangan dan rancangan tidak elok oleh pihak terdesak Israel. Langkah ini kemudiannya diikuti Itali yang turut sama mengesahkan penyertaan kapal tentera mereka dalam misi ini sebagai pengiring dan pelindung.
Walaubagaimanapun, dalam kita bersemangat untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita daripada media, harus diingatkan supaya sentiasa berhati-hati agar tidak terpengaruh atau berkongsi maklumat yang tidak benar atau tidak tepat. Lebih-lebih lagi ada risiko berita palsu atau manipulasi imej/video di media sosial. Ini boleh memesongkan solidariti dan menjejaskan kredibiliti.
Mungkin suara seorang rakyat tidak mampu mengubah apa-apa tetapi dengan sokongan media yang tidak henti, pasti akan menunjukkan hasil. Israel mungkin menggunakan kekerasan untuk menghalang bantuan. Oleh itu media menjadi satu-satunya cara memastikan dunia tahu jika berlaku pencabulan undang-undang antarabangsa.
Teruskan berdoa dan memberi sokongan buat pelayar-pelayar Sumud Flotila yang sedang berjuang ke Gaza. Biar mereka tahu dunia bersama mereka.-UTUSAN
DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI
Pensyarah Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










