SEJAK akhir-akhir ini, isu berhubung kait dengan kebejatan nilai, akhlak dan adab dalam kalangan generasi muda seolah-olah sudah menjadi santapan masyarakat.
Isu disiplin di sekolah, kurangnya rasa hormat terhadap guru, malah sikap sambil lewa terhadap alam sekitar menjadi gambaran nyata wujudnya jurang dalam proses pendidikan yang perlu ditangani.
Timbul persoalan besar, sejauh mana sistem pendidikan hari ini berhasil mengupayakan aspek pembentukan sumber manusia yang benar-benar insan seimbang sebagai mana hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan?
Geografi adalah mata pelajaran yang pada asalnya berperanan penting dalam membentuk kefahaman tentang hubungan manusia dengan alam sekitar.
Malangnya, apabila mata pelajaran Geografi tidak dijadikan subjek teras dalam pendidikan menengah atas menyebabkan peranan pentingnya seolah-olah dipinggirkan.
Implikasinya amat besar. Murid pada hari ini terlepas peluang besar terhadap pendedahan tentang isu alam sekitar, bencana alam dan perubahan iklim yang semakin mendesak pada abad ini. Tanpa kesedaran mendalam melalui pendidikan formal, kita hanya akan melahirkan generasi yang hanya mementingkan pencapaian akademik tetapi kurang rasa tanggungjawab terhadap bumi yang didiami.
Kita berdepan dengan perubahan iklim yang semakin mencabar. Pelbagai fenomena alam sekitar melanda pada skala dunia dan tempatan. Kejadian banjir besar dan tanah runtuh kerap dilaporkan, malah fenomena suhu panas melampau yang dirasai pada hari ini dampaknya jelas terhadap alam sekitar fizikal dan manusia. Semua ini bukan sekadar fenomena alam semata-mata.
Ia menjadi petanda jelas kerakusan manusia dan wujud jurang dalam pendidikan nilai yang turut menyumbang kroniknya krisis pada hari ini.
Apakah kita rela membiarkan generasi muda hanya melihat bencana sebagai ‘takdir’ tanpa menyedari ia turut berpunca daripada tindakan manusia sendiri? Sesuatu perlu dilakukan.
Pendidikan Geografi sepatutnya menjadi wahana penting untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cakna mentafsir peta atau mengenal pasti faktor cuaca tetapi juga mempunyai akhlak mulia, beradab dengan alam serta berempati terhadap mangsa bencana.
Tanpa pemahaman ini, kebejatan nilai akan terus melebar. Tidak salah melahirkan murid terbilang dalam sains atau teknologi yang kita laung-laungkan tetapi jika kehilangan kesedaran menjaga sungai, membuang sampah dengan berhemah atau mengurangkan pembaziran sumber, maka pendidikan itu masih dilihat masih pincang.
Oleh itu, sistem pendidikan perlu menilai semula kedudukan mata pelajaran Geografi. Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh lagi mengoperasikan Geografi sebagai subjek pilihan seperti yang berlaku hari ini tetapi harus melihat dari kaca mata sebagai wahana pembentukan insan seimbang.
Guru Geografi, misalnya, bukan sekadar mengajar fakta tetapi mendidik murid tentang hormat kepada alam, disiplin dalam menggunakan sumber dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang terkesan akibat bencana. Nilai seperti empati, prihatin dan kesederhanaan inilah yang mampu membentuk adab mulia serta membendung kebejatan akhlak.
Hakikatnya, pendidikan tidak dapat dipisahkan daripada nilai kemanusiaan. Jika terus bersikap meminggirkan Geografi, maka kita juga sebenarnya sedang meminggirkan sebahagian besar peluang untuk mendidik generasi yang benar-benar faham tentang kelestarian, perubahan iklim dan tanggungjawab menjaga bumi.
Kedudukan Geografi dalam kurikulum menengah atas perlu dimartabatkan. Geografi bukan sekadar tentang fakta alam tetapi tentang membina jati diri, akhlak dan adab generasi muda agar mereka menjadi warganegara yang berilmu, berperikemanusiaan serta bertanggungjawab.
Jika kita ingin melihat Malaysia yang benar-benar maju dan lestari, maka masa hadapan negara tidak boleh bergantung kepada pembangunan ekonomi semata-mata. Ia juga perlu berteraskan pembentukan nilai, akhlak dan adab generasi yang menghuni bumi ini.
Hanya dengan itu, kita dapat melahirkan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran bencana alam, perubahan iklim dan pada masa sama mengekalkan kemuliaan nilai sejagat.-UTUSAN
DR. MOHAMMAD AZRI AMATAN
Jabatan Geografi dan Alam Sekitar
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










