Nilai integriti merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat yang adil, sejahtera dan maju.
Di Malaysia, cabaran besar yang masih membelenggu pembangunan negara ialah isu rasuah.
Kes-kes melibatkan pemimpin dan pegawai berprofil tinggi menimbulkan kebimbangan masyarakat serta mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan usaha pencegahan yang sedia ada.
Rasuah bukan sahaja meruntuhkan ekonomi negara, malah menghakis nilai moral dalam kalangan rakyat.
Justeru, integriti sebagai prinsip yang menekankan ketelusan, kejujuran dan tanggungjawab, perlu dijadikan tiang utama dalam usaha mengekang budaya ini.
Dalam konteks Malaysia, integriti merujuk kepada amalan beretika, konsisten dengan prinsip moral tinggi dan menjauhi penyelewengan.
Nilai ini amat penting kerana ia menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan dalam hubungan sosial, ekonomi dan politik.
Tanpa integriti, masyarakat akan mudah terdedah kepada ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan penindasan.
Penerapan integriti dalam pentadbiran awam dan sektor swasta merupakan syarat utama untuk memastikan pembangunan negara berjalan lancar.
Sekiranya nilai ini diketepikan, sistem mudah dicemari dengan rasuah serta penyelewengan kuasa. Oleh itu, penting bagi generasi muda membudayakan integriti sebagai asas pembentukan karakter yang beretika dan bertanggungjawab.
Pendidikan memainkan peranan besar dalam melahirkan masyarakat berintegriti.
Di sekolah, mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik menanamkan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Di peringkat universiti pula, kursus seperti integriti dan antirasuah memberi kesedaran lebih mendalam tentang kesan buruk amalan tidak beretika terhadap negara.
Namun, pendidikan formal sahaja tidak mencukupi. Nilai integriti perlu dipupuk sejak kecil melalui keluarga dan komuniti.
Ibu bapa sebagai pendidik pertama mesti menjadi teladan dengan mengamalkan ketelusan dalam kehidupan harian.
Masyarakat pula berperanan mengekalkan budaya yang menolak rasuah serta mengangkat kejujuran sebagai nilai utama.
Integriti bermula daripada sikap individu. Seseorang yang berpegang kepada nilai ini tidak akan sesekali terlibat dengan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.
Islam juga jelas menegaskan larangan rasuah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Allah melaknat ke atas pemberi dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Individu yang berintegriti sedar perbuatan rasuah bukan sahaja menyalahi undang-undang dunia tetapi juga berdosa besar di sisi Allah SWT.
Kesedaran ini menjadi benteng untuk mengelak diri daripada terjebak dalam amalan tidak bermoral yang membawa kebinasaan jangka panjang.
Integriti juga penting dalam membina kepercayaan dan ketelusan. Sistem pentadbiran atau organisasi hanya dapat berjalan lancar apabila setiap anggota menjunjung nilai kejujuran dan keadilan.
Apabila keputusan dibuat secara telus tanpa agenda tersembunyi, kepercayaan rakyat akan meningkat.
Sebaliknya, jika integriti gagal ditegakkan, organisasi akan terdedah kepada kepincangan, kerugian malah muflis.
Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk membanteras rasuah, antaranya melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Anti Rasuah 1997, serta Dasar Toleransi Sifar.
Walaupun begitu, keberkesanan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama semua pihak. Pemimpin pula mesti menjadi teladan dengan menunjukkan kepimpinan berintegriti, agar keadilan dapat ditegakkan secara konsisten.
Generasi muda, termasuk Generasi Beta, merupakan pewaris masa hadapan negara. Oleh itu, program kesedaran seperti kempen antirasuah, forum integriti dan seminar etika profesional perlu digiatkan di sekolah dan universiti.
Selain itu, penglibatan mahasiswa dalam projek komuniti, aktiviti kebajikan dan sukarelawan dapat mengajar mereka tentang pentingnya kejujuran, amanah dan tanggungjawab sosial.
Nilai integriti ialah benteng utama dalam usaha membanteras rasuah dan membina negara yang maju serta sejahtera.
Pendidikan, sokongan keluarga, peranan masyarakat, penguatkuasaan kerajaan dan kesedaran individu semuanya saling melengkapi dalam memperkukuh budaya integriti.
Dengan menegakkan nilai ini dalam setiap aspek kehidupan, Malaysia dapat melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bebas rasuah, adil dan berdaya saing.-UTUSAN
DR. NAZREENA MOHAMMED YASIN dan HANISAH MD. IDRIS
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) & Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)










