Farmakogenomik mengubah cara ubat digunakan

Farmakogenomik mengubah cara ubat digunakan

SESETENGAH ahli farmasi komuniti dan doktor am sudah mula mencadangkan ujian genetik kepada pelanggan, diikuti pengambilan darah yang dihantar ke makmal untuk penjujukan genetik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUBUH manusia sangat kompleks, begitu juga dengan ilmu perubatan. Hari ini, bidang perubatan semakin khusus dan terarah dengan farmakogenomik memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang rawatan berbanding sebelumnya.

Walaupun farmakogenomik belum diiktiraf sebagai kepakaran perubatan rasmi, namun badan antarabangsa dan tempatan sudah melihat potensi besarnya sebagai satu perubahan besar dalam bidang perubatan.

Kini, mana-mana profesional perubatan boleh meneroka minat dan membuat kajian lanjut dalam bidang tersebut. Ahli farmasi, khususnya, berada pada kedudukan yang baik untuk mendalami farmakogenomik kerana latihan mereka tentang cara ubat berfungsi dan bagaimana tubuh manusia bertindak balas terhadapnya.

Di Malaysia, sesetengah ahli farmasi komuniti dan doktor am sudah mula mencadangkan ujian genetik kepada pelanggan, diikuti pengambilan darah yang dihantar ke makmal untuk penjujukan genetik.

Perkhidmatan ini dijangka semakin meluas apabila minat bertambah dalam sektor awam dan swasta. Setakat ini, Malaysia mengadakan mesyuarat pemegang taruh oleh Institut Kesihatan Negara dan Sidang Kemuncak Farmakogenomik Malaysia Pertama 2024 bagi membincangkan penyelidikan, projek perintis di hospital, pembangunan garis panduan dan polisi tempatan, serta latihan.

Untuk memajukan bidang baru ini, farmakogenomik perlu dimasukkan ke dalam kurikulum perubatan dan farmasi selain disertai latihan praktikal untuk mentafsir keputusan ujian genetik serta pembangunan alat yang membantu integrasi farmakogenomik dalam penulisan preskripsi.

Profesional kesihatan pula perlu terus mengikuti pembangunan profesional secara berterusan. Dengan pendidikan dan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan profesional kesihatan dan orang awam, kita boleh mengharapkan aplikasi farmakogenomik yang lebih baik dalam landskap perubatan Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR DR. MAI CHUN WAI
Timbalan Pengarah Sementara IRDI (Strategi Penyelidikan dan Inovasi), Universiti IMU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN