KES penyakit influenza A ketara merebak di negara ini, begitu juga di luar negara.
Perkara tersebut disahkan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dalam seruan nasihatnya kepada penduduk di negeri ini sentiasa berjaga-jaga.
Menurut sumber maklumat, antara tanda-tanda seseorang itu terkena influenza A ialah demam tinggi hingga melebihi 38°C dan batuk berterusan (biasanya kering).
Pesakit influenza A juga merasai sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit kepala, sakit otot dan sendi, keletihan yang melampau, menggigil atau berpeluh sejuk dan kurang selera makan.
Penyakit tersebut berisiko kepada kanak-kanak bawah umur lima tahun, wanita hamil, warga tua berumur 65 tahun ke atas, pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.
Turut berisiko juga kepada individu obes serta mereka yang rendah daya tahan seperti pesakit kanser, HIV dan lain-lain atau akibat ubatan yang diambil seperti kemoterapi dan steroid.
Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah dapatkan vaksin influenza yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan, tutup mulut dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin, guna penutup mulut dan hidung serta kerap cuci tangan.
Apabila kita sudah mengenali influenza A dan langkah-langkah yang perlu dilakukan, menjadi tanggungjawab untuk memantau anggota keluarga masing-masing.
Jika mempunyai anak bawah umur lima tahun atau isteri sedang hamil, ataupun ibu dan ayah berusia lebih 65 tahun, rajin-rajinlah pantau kesihatan mereka.
Ramai juga kalangan ibu bapa yang memiliki rumah sendiri, lebih suka tinggal di rumah mereka untuk menghabiskan hayat di penghujung usia.
Golongan sebegini juga perlu dibuat pemantauan oleh anak-anak dari masa ke semasa. Jika terdapat tanda-tanda simptom influenza A, segeralah ambil tindakan apa yang patut.
Sesungguhnya penyakit berkenaan boleh dijauhi jika semua pihak sentiasa berhati-hati dan segera bertindak sekiranya memiliki simptom-simptom tertentu.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










