KAMI menyeru Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara Sabah dan Sarawak mendedahkan secara terbuka tafsiran undang-undang masing-masing terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung tuntutan 35 peratus kerusi Parlimen oleh Sabah dan Sarawak.
Rakyat berhak mengetahui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September lalu bahawa kerusi Parlimen akan ditambah untuk Sabah dan Sarawak berdasarkan tafsiran mereka.
Ketiga-tiga Jabatan Peguam Negara harus menjelaskan pendirian mengenai soalan-soalan berikut:
– Klausa manakah dalam MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) atau Laporan Suruhanjaya Cobbold yang menyediakan asas untuk Sabah dan Sarawak menuntut 35 peratus kerusi Dewan Rakyat dengan mewarisi 9.4 peratus kerusi yang dipegang oleh Singapura pada 1963-1965 selepas Singapura keluar dari Malaysia?
– Apakah perlindungan khusus yang diperuntukkan oleh Perkara 161E(2)(e) Perlembagaan Persekutuan untuk 15.1 peratus perwakilan Parlimen Sarawak dan 10.1 peratus Sabah?
– Adakah perlindungan dalam Perkara 161E(2)(e) masih berkuat kuasa selepas Ogos 1970?
Pada 10 November 2024, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui terdapat perbezaan dalam tafsiran mengenai tuntutan untuk 35 peratus kerusi Parlimen dan tiada kerusi boleh ditambah sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pada 10 Januari tahun ini, Peguam Negara Sabah, Brenndon Keith Soh, memperbaharui gesaan untuk satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Pada 28 September pula, ahli Parlimen Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh mencadangkan agar Sabah dan Sarawak masing-masing memegang satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, pada 26 September, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun berpendapat tuntutan perwakilan satu pertiga tidak mempunyai asas perlembagaan.-UTUSAN
PROJEK STABILITI DAN AKAUNTABILITI UNTUK MALAYSIA (PROJEK SAMA)










