ISTILAH membodek biasanya merujuk kepada tindakan memberi pujian atau layanan berlebihan kepada pihak atasan dengan tujuan tertentu. Ia berbeza daripada penghargaan tulen kerana mengandungi agenda tersirat, sama ada untuk mendapat kemudahan, perhatian atau kenaikan pangkat.
Dalam konteks budaya kerja, ia boleh dilihat sebagai strategi sosial yang digunakan oleh sebahagian pekerja untuk menempatkan diri lebih dekat dengan pengaruh kuasa.
Walaupun kadangkala dilihat sebagai taktik biasa, membodek menimbulkan dilema etika. Di satu pihak, ia boleh mempercepatkan hubungan baik dengan majikan. Namun, di pihak lain, ia berpotensi merosakkan prinsip meritokrasi dan keadilan dalam organisasi.
Bagi pekerja yang membodek, manfaat jangka pendek mungkin ketara: Akses lebih mudah kepada peluang, perhatian istimewa daripada majikan dan kemungkinan besar dilihat sebagai calon sesuai untuk promosi. Tetapi dalam jangka panjang, kesannya tidak semestinya positif. Hubungan dengan rakan sekerja boleh terjejas, rasa curiga timbul dan kepercayaan dalam pasukan mula luntur.
Pekerja lain yang bekerja keras tetapi tidak memilih untuk membodek berisiko merasa terpinggir. Situasi ini boleh menjejaskan motivasi dan menurunkan produktiviti secara keseluruhan. Akhirnya, budaya kerja yang sepatutnya berasaskan merit akan digantikan dengan budaya perbandingan tidak sihat.
Daripada sudut pengurusan, majikan yang terlalu mudah terpengaruh dengan bodekan berdepan risiko membuat penilaian yang tidak objektif. Jika keputusan penting seperti kenaikan pangkat atau pemberian insentif dibuat berdasarkan pujian semata-mata, organisasi berpotensi kehilangan bakat sebenar. Dalam jangka panjang, ia boleh merencatkan inovasi dan daya saing syarikat.
Budaya yes man juga boleh muncul apabila suara kritikal diketepikan. Keadaan ini mengurangkan kemampuan organisasi untuk menerima idea baharu atau mencabar keputusan sedia ada, satu kelemahan besar dalam persekitaran perniagaan yang dinamik.
Kajian dalam bidang psikologi organisasi menunjukkan pujian yang tulen mampu meningkatkan keyakinan, memperbaiki prestasi dan membina iklim kerja yang lebih harmoni.
Bezanya terletak pada keikhlasan dan keterlaluan. Pujian yang sederhana, khusus dan berasaskan prestasi sebenar berbeza dengan sanjungan berlebihan yang disampaikan demi agenda tertentu. Justeru, majikan perlu peka dalam menilai niat di sebalik kata-kata pujian yang diterima.
Untuk mengekalkan budaya kerja yang sihat, organisasi perlu mengutamakan sistem penilaian berasaskan merit. Prestasi pekerja wajar diukur melalui pencapaian, kemahiran dan sumbangan yang nyata, bukan melalui keupayaan membina hubungan secara tidak seimbang.
Pada masa sama, majikan boleh menggalakkan komunikasi terbuka dan memberi ruang kepada pekerja untuk menyuarakan pandangan kritikal secara membina.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh integriti organisasi, tetapi juga melahirkan suasana kerja yang lebih progresif, telus dan inklusif.
Secara keseluruhannya, membodek tidak boleh dianggap sebahagian daripada seni komunikasi profesional. Walaupun ada manfaat jangka pendek, implikasi jangka panjangnya lebih banyak membawa kesan negatif kepada pekerja dan organisasi.
Komunikasi yang berkesan seharusnya berasaskan kejujuran, keikhlasan dan rasa hormat profesional.
Apabila budaya kerja ditunjangi oleh integriti dan meritokrasi, organisasi bukan sahaja mampu mengekalkan pekerja berbakat, malah berupaya membina reputasi yang kukuh serta mampan dalam menghadapi cabaran masa depan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. IDAYA HUSNA MOHD.
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam










