SUSULAN kejadian gempa bumi ringan di Segamat, Johor dan kawasan sekitarnya baru-baru ini, timbul persoalan besar, sejauh mana selamatnya bangunan dan infrastruktur di Malaysia jika berdepan ancaman gempa?
Walaupun Malaysia memperkenalkan piawaian reka bentuk sismik pada 2017, pematuhan terhadap piawaian ini tidak mandatori dan bergantung kepada penguatkuasaan setempat.
Akibatnya, majoriti pembinaan masih tidak mengambil kira beban gempa dalam reka bentuk.
Tahap keselamatan sesuatu struktur bergantung kepada dua faktor utama iaitu ciri-ciri bangunan dan jenis gempa bumi. Gempa daripada garis sesar tempatan lebih memberi kesan kepada bangunan rendah hingga sederhana bagi bangunan dua hingga 10 tingkat, manakala gempa jarak jauh yang datang dari ratusan kilometer (km) lebih menjejaskan bangunan tinggi.
Pengalaman gempa Ranau, Sabah pada 2015 menjadi bukti nyata. Bangunan konkrit bertetulang empat tingkat mengalami kerosakan lebih serius berbanding rumah kayu. Sifat semula jadi kayu yang ringan dan fleksibel menjadikannya lebih tahan.
Struktur kayu menerima beban sismik lebih kecil kerana beban gempa berkadar langsung dengan berat bangunan. Namun, sifat ini juga menyebabkan goncangan lebih kuat, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan akibat objek dalaman yang jatuh.
Bagi rumah kayu, keselamatan boleh ditingkatkan dengan beberapa langkah:
– Pendakap tiang perlu dipasang berhampiran sendi bagi memindahkan beban terus ke asas.
– Sambungan tiang dan rasuk harus dilekapkan dengan bolt atau paku yang mencukupi.
– Tiang mesti dibina terus ke asas, bukan bergantung pada dinding bata yang rapuh.
Reka bentuk yang lemah meningkatkan risiko kegagalan ketika gempa. Antara reka bentuk paling terdedah ialah pilotis, bangunan yang mempunyai tingkat bawah terbuka manakala tingkat atas ditutupi dinding bata, lazim pada apartmen dan kompleks komersial. Anjakan semasa gempa akan tertumpu pada tingkat bawah yang lemah, lalu mencetuskan kerosakan serius.
Bangunan di tanah curam juga berisiko kerana tiang pendek lebih mudah gagal, menyebabkan keruntuhan keseluruhan. Bentuk bangunan L, T, atau H, yang biasa digunakan untuk sekolah atau pejabat, turut cenderung mengalami kerosakan, terutama di bahagian pepenjuru menghubungkan blok.
Elemen bukan struktur seperti dinding bata dan kemasan luaran turut meningkatkan risiko. Dinding bata bersifat rapuh dan mudah runtuh di bawah kitaran gegaran berterusan.
Runtuhan ini boleh menghempap penghuni atau fasiliti. Menara masjid dan tiang yang dilapisi bata hiasan juga terdedah kepada risiko sama, begitu juga dinding gabel di bahagian siling.
Untuk memastikan tahap keselamatan optimum, analisis terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti kapasiti maksimum struktur serta kekuatan gempa yang boleh ditanggung. Proses pengukuhan dan pembaikan mesti mengambil kira tingkah laku tidak linear struktur, disokong data seismik yang tepat.
Pelaksanaan analisis ini tidak boleh dibuat sambil lewa. Ia mesti berpandukan piawaian spesifik dengan penglibatan pakar analisis sismik.
Pendekatan saintifik dan sistematik adalah kunci untuk meningkatkan tahap keselamatan struktur di Malaysia, terutamanya dengan mengambil kira lokasi negara yang tetap terdedah kepada gegaran dari garis sesar tempatan dan jiran serantau.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SOPHIA C. ALIH
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










