USAHA institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) dalam melahirkan graduan mahir dalam bidang kepakaran untuk sektor pekerjaan penting apatah lagi bidang teknologi atau kecerdasan buatan (AI) semakin mendapat tumpuan.
Ada universiti yang bersungguh-sungguh melahirkan graduan mahir dalam AI, namun elemen ketakwaan masih lompong dari dulu hingga kini. Universiti hanya mementingkan duniawi tanpa memikirkan kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Dalam menghadapi dunia akhir zaman ini sepatutnya universiti menyediakan modul untuk melahirkan graduan yang mahir dunia dan bersifat takwa dalam kehidupan mereka.
Apabila sifat takwa tidak dibentuk tidak mustahil lulusan universiti akan terjebak dengan masalah sosial, rasuah dan maksiat.
Pentingnya pihak universiti menekankan ketakwaan dalam persekitaran universiti dengan menekan hablumminallah iaitu keharmonian antara manusia dengan Allah melalui amalan Nabi dan peranan ulama ulama untuk pendidikan kerohanian.
Hubungan hablumminaas (pemeliharaan hubungan manusia sesama manusia) di samping sifat-sifat mulia yang penting diamalkan bagi graduan. Ini bermakna setiap ilmu yang diajar hendaklah dihubungkaitkan dengan Allah agar timbul takwa pada hati graduan.
Beberapa cadangan mungkin boleh dipertimbangkan pihak universiti bagi usaha tambah baik:
– Universiti perlu menggunakan pelbagai pendekatan dan pendidikan holistik dalam pelbagai ilmu dari sumber al Quran sehingga dapat melahirkan ulama duniawi dan bertakwa seperti Al khawarizmi, Ibnu Sina dan tokoh Islam lain yang berwibawa.
– Pendidik perlu sedia menukar standard dari hanya memahami kepada sistem hafalan dan memahami apa yang dihafal dan dipelajari. Contoh Dr. Zakir Naik seorang graduan perubatan dan mampu menghafal dengan baik.
– Universiti mesti memperkasakan kemahiran insani bagi kehidupan graduan yang menempuh alam pekerjaan.
– Program pemantapan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selaras akidah umat Islam di Malaysia dan kerjasama dengan industri hendaklah dilakukan. Ini bermaksud persekitaran industri yang kondusif dapat membentuk suasana kerja yang mendorong peningkatan iman dan takwa, sekali gus meningkatkan produktiviti.
Amalan-amalan sunnah diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti industri, khususnya melalui pembudayaan sikap rajin dan jujur dalam pekerjaan.
Dengan mengambil tindakan dari sekarang, universiti dapat melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dan profesional, malah bertakwa.
Sebaliknya, jika hanya menekankan kemahiran tanpa aspek ketakwaan, graduan yang dihasilkan mungkin kurang jujur dan tidak berdisiplin dalam pekerjaan.-UTUSAN
DR. ZUNAIDDIN IBRAHIM
Rawang, Selangor










