Unit beruniform ejen cegah buli di sekolah

Unit beruniform ejen cegah buli di sekolah

JIKA nilai disiplin, kepimpinan dan hormat kepada orang lain dapat disemai sejak sekolah rendah, murid akan membesar dengan sikap lebih bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA ingin mencadangkan satu pendekatan tambahan iaitu melalui pengukuhan peranan Kadet Polis di sekolah. Peranan mereka boleh diperluaskan sebagai rakan sebaya yang membantu mencegah gejala buli.

Dengan latihan dan bimbingan yang betul, anggota Kadet Polis boleh menjadi contoh teladan, peka terhadap tanda-tanda awal buli, serta menjadi penghubung antara murid dengan pihak guru atau kaunselor.

Apabila murid melihat rakan sebaya mereka sendiri berani bersuara menentang buli, mesej itu lebih mudah diterima.

Malah, Kadet Polis boleh menggerakkan kempen kesedaran, sesi penerangan mengenai hormat-menghormati dan rondaan di kawasan sekolah pada waktu rehat bagi memastikan persekitaran lebih selamat. Peranan ini bukan untuk “menguatkuasakan undang-undang” di sekolah, tetapi untuk membina budaya kepimpinan, empati dan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid.

Pada masa ini, Kadet Polis hanya wujud di sekolah menengah. Namun, wajar untuk dipertimbangkan penubuhan Kadet Polis di sekolah rendah juga.

Gejala buli lazimnya bermula sejak usia kecil dalam bentuk ejekan, pengasingan sosial atau perbuatan kasar yang dianggap “gurauan”.

Jika nilai disiplin, kepimpinan dan hormat kepada orang lain dapat disemai sejak sekolah rendah, murid akan membesar dengan sikap lebih bertanggungjawab dan berakhlak mulia.

Sudah tentu, usaha ini memerlukan sokongan semua pihak—guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, agensi keselamatan serta pihak kerajaan.

Tetapi dengan bimbingan yang jelas, Kadet Polis mampu menjadi platform yang bukan sahaja membentuk murid berdisiplin, malah turut menyumbang kepada suasana sekolah yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada budaya buli.

Sekiranya kita benar-benar mahu melahirkan generasi yang berani menegakkan kebenaran dan menolak kekerasan, maka memperkukuhkan dan memperluas peranan Kadet Polis, termasuk di sekolah rendah, adalah satu langkah yang wajar dan strategik. – UTUSAN

HAZRAN ASYRAF HAKIMI
Mantan Pengerusi Kadet
Polis SMK Subang Jaya 2008

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN