KESELAMATAN pelajar harus menjadi keutamaan dalam dunia pendidikan moden. Selain pengisian ilmu, aspek fizikal sekolah perlu diteliti agar tidak mengundang risiko nyawa.
Beberapa insiden pelajar terjun dari bangunan sekolah atau jambatan berhampiran amat membimbangkan dan menuntut tindakan segera.
Cadangan meninggikan tembok sekolah dan jambatan wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan. Banyak sekolah bertingkat mempunyai balkoni dan tangga terbuka yang mudah diakses. Jika tembok rendah, ia mendedahkan pelajar kepada risiko jatuh, sama ada secara tidak sengaja, dipengaruhi rakan sebaya atau akibat tekanan emosi.
Tindakan fizikal seperti meninggikan pagar atau memasang penghadang besi mungkin dilihat membebankan kos. Namun, jika dibandingkan dengan impak kehilangan nyawa dan trauma keluarga, ia adalah pelaburan yang berbaloi.
Isu jambatan juga penting. Ramai yang menjadikan jambatan sebagai lokasi mencuba tindakan berbahaya ketika berdepan tekanan hidup. Selain itu, kenderaan yang terbabas di jambatan berisiko jatuh jika tembok penghadang terlalu rendah. Negara maju sudah lama menggunakan struktur tinggi sebagai standard keselamatan.
Dari sudut psikologi, tembok tinggi juga boleh menjadi halangan mental bagi individu yang ingin bertindak di luar kawalan, sekali gus memberi ruang untuk berfikir semula. Ini adalah satu bentuk pencegahan pasif yang berkesan.
Namun, langkah ini perlu disokong oleh usaha lain seperti kaunseling, program anti buli dan suasana pembelajaran positif.
Ibu bapa juga harus memainkan peranan memantau emosi anak-anak. Kasih sayang di rumah dan keselamatan fizikal di sekolah perlu berjalan seiring.
Kerajaan pula perlu menyemak semula spesifikasi pembinaan sekolah dan jambatan serta menjalankan audit keselamatan berkala. Masyarakat juga harus peka dan melaporkan sebarang bahaya yang berpotensi.
Kesimpulannya, meninggikan tembok sekolah dan jambatan bukan hanya soal struktur tetapi soal nyawa dan masa hadapan negara. – UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
Parit Sulong, Johor










