Tanam semangat kemerdekaan melalui perpustakaan

Tanam semangat kemerdekaan melalui perpustakaan

MARILAH kita bersama-sama sentiasa menyemai rasa kasih dan sayang terhadap negara, dengan sentiasa menjadikan perpustakaan sebagai ladang ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA hari ini, kita melihat perpustakaan proaktif dalam memandu institusi maklumat di Malaysia ke arah digitalisasi dalam pelbagai aspek sumber maklumat.

Hal ini demikian kerana, sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang keempat iaitu teras Pendidikan Berkualiti yang menumpukan pada tahun 2030, tiada seorang pun yang ketinggalan dalam pendidikan daripada usia kanak-kanak sehingga dewasa, begitu juga peranan perpustakaan dalam memacu tonggak utama dalam penyediaan naratif pembangunan sumber maklumat yang dominan serta konsisten demi menyokong teras tersebut.

Dalam aspek kemerdekaan, perpustakaan sentiasa komited dalam memberikan peluang yang terbaik kepada seluruh lapisan masyarakat agar melihat perpustakaan ini sebagai hab ilmu tanpa sempadan dalam memberikan perkhidmatan penyediaan ilmu pengetahuan yang berkesan kepada masyarakat tidak kira di bandar atau luar bandar, semuanya dapat merasai nikmat menimba ilmu tidak kira di mana mereka berada.

Dengan adanya perkhidmatan yang mantap, perpustakaan dapat mencetuskan minat dan menanam benih cinta akan ilmu kepada generasi muda supaya mereka sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan serta untuk jangka masa panjang, perpustakaan juga mendapat tempat dalam sumbangan usaha membina modal insan yang berpengetahuan serta mampu bersaing dalam pelbagai bidang.

Sebagai contoh, perpustakaan menyediakan program literasi maklumat kepada masyarakat luar bandar tentang pendedahan pencarian atau penyelidikan maklumat dan mempelbagaikan platform pencarian sumber maklumat kepada masyarakat bagi memupuk semangat untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kehebatan daya fikir sejagat.

Kesannya, ketersampaian hasrat untuk membina generasi muda serta masyarakat juga dapat dicapai dan seluruh lapisan masyarakat akan merasai ilmu ini ialah suatu nikmat dan penghargaan daripada Tuhan kepada manusia untuk sentiasa mengamati akan betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam membina kehidupan yang lebih bermakna.

Perpustakaan juga boleh bertindak sebagai tempat untuk masyarakat berkongsi kenangan lama yang hidup pada zaman rakyat memperjuangkan kemerdekaan.

Perpustakaan boleh dilihat sebagai platform pengumpulan memori, ingat-ingatan akan usaha bagaimana masyarakat terdahulu berjuang dan mempertahankan negara.

Sebagai contoh, menjemput warga emas yang ingin berkongsi bagaimana kisah mereka bersusah payah berkorban tenaga dan nyawa demi melihat generasi kini dapat bebas hidup dengan harmoni.

Dengan penceritaan ini, kita dapat menyebarkan lagi semarak merdeka dalam hati anak muda serta generasi pada hari ini untuk sentiasa bersyukur dan mengenangkan bahawa perjuangan mereka bukanlah sia-sia.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama sentiasa menyemai rasa kasih dan sayang terhadap negara, dengan sentiasa menjadikan perpustakaan sebagai ladang ilmu untuk kita membina modal insan dan pucuk pimpinan generasi baharu yang kaya dengan jasmani, emosi, rohani serta intelek.

Perpustakaan sentiasa berusaha untuk memperhalusi mekanisme yang relevan untuk mengekalkan peranan perpustakaan sebagai institusi yang mencipta benih cintakan negara dan memartabatkan bangsa Malaysia yang hebat di persada dunia.

Oleh itu, perpustakaan haruslah sentiasa komited dalam berjuang memerdekakan pemikiran generasi kini dengan memajukan fokus utama penyampaian maklumat yang interaktif dan menggembleng idea bagi melahirkan masyarakat yang cakna akan ilmu dan menghargainya supaya perpustakaan sentiasa relevan dan tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan 2025, Malaysia Madani : Rakyat Disantuni. – UTUSAN

MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Penolong Pustakawan
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×