DALAM era teknologi, buli turut berlaku melalui media sosial. Fenomena ini menuntut pendekatan pencegahan yang menyeluruh, sistematik dan melibatkan semua pihak.
Langkah pertama yang perlu diambil ialah membina budaya tiada toleransi terhadap sebarang bentuk buli. Pihak sekolah mesti menggubal dan melaksanakan polisi antibuli yang jelas, dengan penekanan perbuatan tersebut tidak akan diterima sama sekali.
Polisi ini perlu disosialisasikan secara meluas kepada murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat melalui taklimat, poster dan pengumuman berkala di perhimpunan sekolah.
Selain peraturan, pendidikan dan kesedaran adalah senjata utama. Sekolah perlu mengadakan kempen antibuli secara berkala, sama ada melalui ceramah, drama, pertandingan poster atau sesi perkongsian pengalaman mangsa buli. Murid mesti dididik untuk mengenali apa itu buli, bagaimana ia memberi kesan kepada mangsa dan langkah-langkah yang perlu diambil jika melihat atau mengalami buli. Program kesedaran seperti ini bukan sahaja mencegah murid daripada menjadi pembuli, malah menggalakkan mereka menjadi ‘pembela’ yang berani menegur dan melaporkan insiden buli.
Guru dan kakitangan sekolah perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda murid yang berisiko menjadi mangsa atau pembuli, seperti perubahan mendadak dalam tingkah laku, prestasi akademik yang merosot atau kerap ponteng sekolah.
Latihan berkala untuk guru kelas, guru disiplin dan kaunselor akan membantu mereka bertindak cepat sebelum masalah menjadi serius. Tambahan pula, saluran aduan yang selamat seperti kotak aduan atau talian WhatsApp khas boleh memberi ruang kepada murid untuk melaporkan insiden tanpa rasa takut.
Kajian menunjukkan insiden buli sering berlaku di lokasi yang kurang dipantau seperti tandas, koridor, kantin atau kawasan belakang sekolah. Penempatan guru bertugas, pengawas atau pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik boleh mengurangkan peluang berlakunya buli.
Program yang memupuk empati, hormat-menghormati dan kemahiran komunikasi berkesan perlu diperbanyakkan. Apabila murid dilatih untuk menghargai perbezaan, risiko mereka terlibat dalam tingkah laku agresif dapat dikurangkan.
Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh dijadikan platform untuk memberi taklimat anti buli dan mengukuhkan kerjasama antara rumah dan sekolah. Ibu bapa juga digalakkan untuk memantau penggunaan gajet anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam buli siber.
Sokongan psikologi kepada mangsa dan intervensi terhadap pembuli perlu berjalan serentak. Mangsa memerlukan kaunseling untuk memulihkan keyakinan diri dan mengurangkan kesan trauma, manakala pembuli pula perlu melalui program pemulihan tingkah laku yang menekankan nilai empati dan tanggungjawab sosial. Pendekatan yang hanya menghukum tanpa membimbing tidak memberi kesan jangka panjang. Oleh itu, pembuli juga perlu diberi peluang untuk berubah melalui bimbingan yang betul.
Akhir sekali, keberkesanan usaha mencegah buli perlu dinilai secara berkala. Hasil penilaian ini membolehkan pihak sekolah menyesuaikan strategi dan menambah baik langkah-langkah yang sedia ada. Pencegahan buli bukanlah usaha sekali jalan, sebaliknya ia memerlukan pemantauan berterusan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour










