PEMBERIAN Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa Malaysia berusia 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang atau status ekonomi, adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah kerangka Kerajaan Madani.
Kredit dimasukkan terus ke MyKad dan boleh ditebus di lebih 4,100 premis runcit di seluruh negara termasuk pasar raya besar terpilih.
Pelaksanaannya bermula pada 31 Ogos lalu hingga 31 Disember ini bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi sebuah simbol kebersamaan nasional. Inisiatif ini dilihat sebagai hadiah bermakna yang menyentuh hati rakyat ketika mereka berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan, kadar inflasi Malaysia bagi Jun tahun ini berada pada paras 1.1 peratus, lebih rendah berbanding 1.2 peratus pada Mei.
“Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.1 peratus pada Jun 2025, kadar yang sama seperti Mei 2025.”
“Subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya. Bagaimanapun, penurunan bagi makanan di rumah pada kadar 0.4 peratus sedikit sebanyak mengimbangi tekanan inflasi daripada meningkat lebih lanjut,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Dalam konteks ini, bantuan RM100 memberi nilai tambah ketara kepada kuasa beli rakyat.
Dengan harga beras putih tempatan Super Special 5% mencecah sekitar RM32 bagi 10 kilogram (kg), bantuan ini membolehkan sebuah keluarga membeli tiga kampit beras 10kg, cukup untuk menampung makanan ruji untuk tempoh tertentu.
Sekiranya digunakan untuk pembelian telur, dengan harga purata RM14.50 bagi 30 biji, bantuan RM100 mampu membeli hampir 210 biji telur, yang boleh menjadi sumber protein penting sepanjang beberapa minggu.
Bantuan ini adalah manifestasi nyata kerangka Ekonomi Madani yang berasaskan prinsip keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara secara saksama.
Kerajaan membelanjakan anggaran lebih RM2 bilion untuk program ini, melibatkan kira-kira 22 juta rakyat dewasa, sebagai isyarat bahawa kekayaan negara mesti kembali kepada rakyat.
Lebih daripada sekadar bantuan tunai, SARA berfungsi sebagai pengikat sosial yang memperkukuh rasa kebersamaan rakyat dan kerajaan.
Ia mengingatkan kita dasar ekonomi bukan tentang angka pertumbuhan semata-mata tetapi tentang memastikan setiap rakyat mampu menikmati hasil pembangunan negara.
SARA adalah hadiah merdeka yang mengingatkan kita kepada nilai perpaduan, keadilan sosial dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Di kala rakyat berdepan tekanan ekonomi, bantuan ini adalah tanda negara tidak membiarkan mereka sendirian.
Inilah wajah sebenar Malaysia Madani, sebuah negara yang bukan sahaja membangun tetapi juga peduli.-UTUSAN
PROFESOR DR. NORAZAH MOHD. SUKI
Universiti Utara Malaysia (UUM)










