Pekerja pembersihan perlukan pembelaan

Pekerja pembersihan perlukan pembelaan

SEMUA pihak termasuk kontraktor dan pelanggan perlu bertanggungjawab ke atas hak dan kebajikan pekerja pembersihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA masih kerap mendengar pekerja-pekerja pembersihan tidak dibayar gaji, tidak dicarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), tiada cuti tahun dan cuti sakit bergaji serta pelbagai bentuk penganiayaan.

Sekiranya kita benar-benar ingin menghargai keringat pekerja-pekerja pembersihan, maka semua pihak termasuk kontraktor dan pelanggan perlu bertanggungjawab ke atas hak dan kebajikan pekerja-pekerja.

Kontraktor perlu menunaikan hak dan kebajikan pekerja dengan membayar gaji setimpal pada masa ditetapkan, membuat caruman yang wajib untuk pekerja, membayar cuti tahun serta cuti sakit.

Manakala pelanggan perlu memastikan harga yang ditawarkan kontraktor merangkumi sekurang-kurangnya gaji minimum pekerja, caruman yang diwajibkan dan peruntukan cuti tahun bergaji serta lain-lain kos seperti kos bahan, perkakas dan peralatan, perbelanjaan operasi serta untung kasar kontraktor.

Secara kasarnya, sekiranya gaji minimum ialah RM1,700 dan pekerja bekerja 45 jam seminggu, kos seorang pekerja pembersihan termasuk caruman yang diwajibkan dan peruntukan cuti tahun bergaji adalah tidak kurang dari RM2,000 sebulan. Ini tidak termasuk lain-lain kos seperti kos bahan kimia, perkakas dan peralatan cucian, perbelanjaan operasi dan untung kasar syarikat.

Kebiasaannya, kos tenaga pekerja adalah antara 70 hingga 80 peratus dari harga keseluruhan kontrak. Ini bermakna harga kontrak adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan bagi setiap seorang pekerja. Sekiranya kontrak memerlukan 10 orang pekerja, harga kontrak tidak kurang dari RM25,000 sebulan.

Ini tidak termasuk gaji lebih masa sekiranya pekerja perlu bekerja lebih dari 45 jam seminggu. Pekerja pembersihan biasanya akan masuk bekerja sebelum kakitangan pejabat dan balik selepas kakitangan balik, sejam atau dua jam sebelum dan selepas.

Kebiasaannya masa kerja pekerja pembersihan adalah lebih dari 45 jam seminggu. Ini bermakna kontraktor perlu menampung kos gaji lebih masa bagi setiap jam yang melebihi 45 jam dengan kadar 1.5 dari kadar gaji biasa.

Bagi mengelak penganiayaan, pelanggan seharusnya menetapkan kadar minimum tawaran harga kontrak tidak kurang dari kos tenaga pekerja minimum ditambah 20 hingga 30 peratus untuk lain-lain kos termasuk untung kasar kontraktor.

Bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan lain-lain, di mana sukar mendapatkan pekerja tempatan dan kontraktor terpaksa menggunakan pekerja asing menyebabkan kos tambahan untuk levi dan penginapan mencecah RM500 sebulan bagi seorang pekerja.

Menjadikan harga kontrak lebih dari RM3,000 sebulan bagi setiap seorang pekerja.

Jika kontraktor menawarkan harga terlalu rendah tanpa mengambil kira kos sebenar tenaga kerja, risiko pekerja teraniaya sangat tinggi. Demi keuntungan, ada yang tidak membayar gaji minimum, memaksa kerja lebih 45 jam tanpa bayaran lebih masa, mengabaikan caruman wajib serta tidak memberi gaji untuk cuti tahunan dan cuti sakit.

Tidak bermakna menyambut hari pekerja pembersihan setiap tahun, sekiranya hak dan kebajikan pekerja masih terabai dan penganiayaan masih berlaku.-UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×