Membina jiwa merdeka berpandukan wahyu

Membina jiwa merdeka berpandukan wahyu

JIWA merdeka bukan sekadar melaungkan slogan tetapi berani menolak kezaliman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEHINGGA hari ini jiwa rakyat Malaysia masih bersemangat menyambut bulan kemerdekaan. Bahkan, hari ini pula kita meraikan Hari Malaysia. Jalur Gemilang dikibarkan, laungan patriotisme bergema dan sambutan diraikan penuh warna.

Namun, persoalan yang wajar direnung ialah apakah kemerdekaan sekadar bebas daripada penjajahan atau membawa makna lebih mendalam?

Sejarah menunjukkan kemerdekaan mempunyai dimensi politik, spiritual dan moral.

Bagi umat Islam, wahyu menjadi asas kukuh membina bangsa merdeka. Al-Quran bukan hanya kitab ibadah tetapi manual pembebasan manusia daripada kezaliman dan perhambaan sesama makhluk. Firman Allah: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak Adam…” (al-Isra’: 70) menegaskan martabat manusia yang hanya mulia apabila tunduk kepada Tuhan, bukan penjajah atau sistem menindas.

Ibn Kathir menafsirkan kemuliaan ini meliputi jasad, akal dan agama, sekali gus menuntut pembebasan politik, minda dan akhlak.

Sejarawan Syed Naquib al-Attas turut menekankan Islam membawa kebebasan hakiki iaitu bebas daripada belenggu syahwat dan hawa nafsu. Ini menunjukkan kemerdekaan bermula dari jiwa sebelum diterjemahkan dalam bentuk fizikal.

Namun, dunia membuktikan banyak negara bebas politik tetapi masih dijajah budaya, ekonomi dan pemikiran. Edward Said dalam Culture and Imperialism (1993) mengingatkan penjajahan moden sering hadir melalui penguasaan naratif dan budaya.

Malaysia juga tidak terkecuali. Walaupun sudah 68 tahun merdeka, isu jati diri masih dibahaskan. Fenomena kehilangan identiti akibat materialisme, ketagihan media sosial dan pengaruh hiburan global boleh menggugat nilai patriotisme.

Al-Quran menegaskan: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.” (al-Ra‘d: 11). Ayat ini memberi mesej survival kemerdekaan bergantung pada integriti, amanah dan solidariti generasi pasca-merdeka. Tanpanya, kemerdekaan mudah tergadai melalui korupsi, perpecahan atau pengaruh asing.

Jiwa merdeka bukan sekadar melaungkan slogan tetapi berani menolak kezaliman.

Rasulullah SAW menegaskan keberanian menegur penguasa zalim sebagai lambang kemerdekaan sejati. Pendidikan negara perlu melahirkan warganegara kritis, berfikir bebas namun berpaksikan wahyu, agar kebebasan tidak hanyut dalam fahaman bebas nilai.

Akhirnya, kemerdekaan ialah amanah bertuhan. Wahyu menjadi tiang seri kepada bangsa merdeka. Tanpanya, kebebasan hanya ilusi dan bangsa yang merdeka berisiko kembali menjadi hamba kepada nafsu, budaya asing atau kuasa besar dunia.-UTUSAN

DR. MHD. FAIZAL MHD. RAMLI
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia (UPNM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN