KECENDERUNGAN ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama seperti sekolah tahfiz, sekolah pondok atau sekolah rendah agama pada masa ini dipuji ramai.
Ini kerana, anak-anak yang mendapat pendidikan agama akan mempunyai jati diri, keperibadian serta sahsiah yang terpuji dalam kehidupan seharian berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya.
Menurut Pengetua Maahad Tahfiz Tarbiah Al Ummah, Manolito Dahlan yang juga Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Malaysia (Permata), mereka memilih sekolah agama kerana ingin seimbangkan antara dunia dan akhirat.
Ini kerana, sejak kecil lagi, anak-anak sudah dibekalkan dengan pendidikan akademik. Jadi, sudah tiba masanya untuk mereka mencari pendidikan agama untuk anak. Sekurang-kurangnya, apabila pelajar mendalami bidang agama, mereka akan mendapat ilmu daripada sumber yang sahih kerana asas utama belajar di sini adalah kembali kepada pendidikan Islam dan al-Quran.
Kesungguhan ibu bapa yang mahukan anak-anak mendalami ilmu agama perlu dimulakan dari sekarang supaya kehidupan pelajar berada di landasan yang betul. Dulu, kesedaran tentang aliran sebegini tidak menyeluruh. Kita sendiri dapat melihat, ramai wanita tidak menutup aurat. Tapi sekarang, kita sudah didedahkan dengan pelbagai ilmu agama. Segala informasi di hujung jari. Tinggal lagi kita rajin atau tidak untuk mencarinya.
Pendapat saya, pembelajaran di sekolah berasrama penuh dan sekolah harian biasa, memang berbeza. Selain ilmu akademik, anak-anak juga mendapat ilmu tahfiz daripada guru-guru yang berpengalaman. Dengan kedua-dua ilmu ini (agama dan akademik), mereka berjaya menyambung pengajian ke Kolej Matrikulasi, Institusi Pengajian Islam dan lain-lain dalam pelbagai aliran. Sementelah lagi, sekolah aliran agama ini sememangnya bagus, bukan sahaja berjaya dalam keagamaan, malah ia turut menjadi antara cabang keberhasilan dalam sukan dan dunia arus perdana.
Bercakap pula mengenai hala tuju pelajar tahfiz, laluan dan masa hadapan golongan ini cerah. Kebanyakan ibu bapa tidak percaya anak-anak mereka boleh berjaya dan akan ke menara gading. Dengan cabaran dan dugaan yang dilalui satu masa lalu, yakinlah susunan Allah itu sangat cantik.
Nasihat saya, jika ada masalah tentang pendidikan tahfiz atau agama, hadapilah dengan tenang. Jangan risau dengan masa hadapan dan jangan buat ‘kerja Allah’ kerana segala-galanya ditentukan-Nya.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi
Kesatuan Pemuda Islam
Gabungan Sekolah Rendah
Agama Sepenuh Masa (KEMUDI-GSSM)
Taiping Perak










